LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, meraih kuasa pada 2024 apabila membawa parti Buruh mencapai kemenangan besar ke atas parti Konservatif.
Namun, kurang dua tahun kemudian, beliau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri paling tidak popular di Britain dalam beberapa dekad, meskipun masih dihormati di peringkat antarabangsa.
Dengan wajah muram, Starmer mengumumkan peletakan jawatannya di luar 10 Downing Street pada Isnin yang merupakan pejabat perdana menteri.
Starmer berkata, menjadi perdana menteri adalah saat paling membanggakan dalam hidupnya, tetapi mengaku beliau perlu berundur dengan hati terbuka..
Dalam satu detik yang jarang berlaku, beliau kelihatan menahan air mata ketika memberi penghormatan kepada keluarganya sebelum berjalan pergi dan dipeluk isterinya.
Beliau sebelum ini berjanji untuk membuka lembaran baharu selepas 14 tahun pemerintahan parti Konservatif yang dicemari kekacauan dan pergolakan dalaman, termasuk pentadbiran singkat Liz Truss sebagai perdana menteri yang hanya bertahan selama 49 hari.
Dalam ucapan pertamanya sebagai perdana menteri pada 5 Julai 2024, Starmer yang berusia 63 tahun berjanji untuk membentuk kerajaan yang berasaskan khidmat dan akan campur tangan secara lebih ringan dalam kehidupan rakyat.
Beliau cuba menonjolkan pendekatan yang lebih sederhana, berbeza daripada gaya kepimpinan ideologi dan retorik yang sering dikaitkan dengan perdana menteri Konservatif terdahulu, khususnya Boris Johnson.
Namun, sejak awal pentadbirannya, beliau dibelenggu pelbagai perubahan dasar dan kesilapan yang mengecewakan penyokong parti Buruh sendiri. Bekas peguam hak asasi manusia itu gagal menampilkan dirinya sebagai pemimpin yang stabil seperti yang dijanjikannya.
Gaya peribadinya yang lebih akademik, kurang berkarisma dan tidak terlalu berideologi juga gagal menarik hati ramai pengundi.
Starmer dijangka digantikan oleh Andy Burnham, bekas Datuk Bandar Greater Manchester yang berkarisma dan baru-baru ini memenangi pilihan raya kecil penting untuk kembali ke parlimen atas tiket parti sama dengannya.
Jika Starmer sering dilihat kaku dan kurang mesra dengan orang ramai, Burnham pula dikenali kerana gaya percakapannya yang penuh semangat dan lebih mudah berhubung dengan rakyat.
Walaupun Starmer menegaskan beliau meninggalkan Britain yang jauh lebih kuat dan lebih adi”, tahap popularitinya hanya sekitar 19 peratus, antara yang terendah pernah dicatatkan bagi seorang perdana menteri, menurut tinjauan YouGov.
Dilahirkan pada 2 September 1962, Starmer dibesarkan di sebuah rumah berkembar kecil di pinggir London oleh ibunya yang sering sakit dan bapanya yang agak pendiam tetapi gemar memelihara haiwan serta menyelamatkan keldai.
Selepas menamatkan pengajian universiti, beliau membina kerjaya yang berjaya sebagai peguam hak asasi manusia dan kemudian menjadi ketua pendakwa raya negara, yang akhirnya membolehkannya menerima gelaran kesatria daripada Ratu Britain Queen Elizabeth II ketika itu.
Seorang pemain seruling yang aktif dan penyokong setia kelab bola sepak Arsenal F.C., Starmer menjadi ahli parlimen pada 2015 sebelum mengambil alih kepimpinan parti Buruh daripada Jeremy Corbyn lima tahun kemudian. Ia berlaku selepas parti itu mengalami kekalahan pilihan raya terburuk sejak 1935.
Beliau menunjukkan sisi tegasnya dengan menyingkirkan Corbyn daripada arus perdana parti, menangani isu antisemitisme dan mengembalikan Buruh ke kedudukan politik yang lebih sederhana, sekali gus membawa kemenangan pilihan raya terbesar parti itu dalam lebih dua dekad.
Namun, tindakan keras terhadap Corbyn dan penyokongnya, serta dasar kerajaan yang tegas terhadap migran, menyebabkan beliau kehilangan sokongan daripada sayap kiri partinya.
Ucapan beliau yang menyatakan Britain berisiko menjadi pulau orang asing turut dikecam oleh ramai ahli parti Buruh berhaluan kiri.
Pentadbiran Starmer bermula dengan sukar apabila kerajaannya mengumumkan dasar yang sangat tidak popular untuk menarik balik bantuan bahan api musim sejuk kepada berjuta-juta warga emas. Beliau kemudian menarik balik keputusan itu.
Ia hanyalah salah satu daripada beberapa perubahan dasar yang memalukan, termasuk rancangan pembaharuan kebajikan dan pembatalan cadangan cukai pusaka untuk petani. Beliau juga menimbulkan kemarahan komuniti perniagaan dengan menaikkan cukai gaji serta gaji minimum.
Beberapa bulan pertama pemerintahannya turut dicemari kontroversi hadiah percuma yang diterima pemimpin kerajaan.
Pada September 2025, timbalannya, Angela Rayner, meletakkan jawatan selepas didakwa membayar cukai hartanah yang tidak mencukupi.
Pada bulan yang sama, Starmer memecat Peter Mandelson daripada jawatan duta Britain ke Washington berikutan hubungan rapat beliau yang diketahui umum dengan pesalah seks Amerika yang telah meninggal dunia, Jeffrey Epstein.
Pelantikan singkat itu, yang kemudiannya dipohon maaf oleh Starmer, mencetuskan kemarahan besar dan menyebabkan dua pembantu rapatnya turut meninggalkan pentadbiran.
Kemudian, Parti Buruh mengalami siri keputusan pilihan raya tempatan yang mengecewakan pada Mei, yang memperhebatkan lagi desakan supaya beliau berundur.
Starmer bagaimanapun menerima pujian kerana berpendirian tegas terhadap Presiden AS, Donald Trump, berhubung perang Iran dan kerana terus menyokong Ukraine bersama negara-negara Eropah. Ada juga yang memuji usahanya memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Eropah selepas referendum Brexit pada 2016.
Dalam ucapan perpisahannya pada Isnin, beliau menonjolkan beberapa pencapaiannya termasuk pengurangan senarai menunggu dalam Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan. (NHS). – AFP










