BESUT: Durian kampung dari Hulu Besut tetap menjadi pilihan penggemar raja buah itu biarpun berdepan lambakan durian dari negeri-negeri lain yang turut menyebabkan harga jualannya menurun pada musim kali ini.
Peniaga durian, Kamaruddin Che Omar, 68, berkata, musim durian kampung yang mula gugur sejak awal Jun lalu dijual sekitar RM4 hingga RM5 sekilogram berbanding RM8 hingga RM10 sekilogram sebelum ini.
Katanya, lambakan durian dari sebelah utara dan durian tempatan menyebabkan pasaran durian kampung terjejas, namun permintaan terhadap durian kampung Hulu Besut sentiasa ada.
“Walaupun banyak durian luar masuk, orang tetap cari durian kampung Hulu Besut sebab rasanya lain, lebih lemak dan manis. Ada yang beli untuk makan dan ada juga simpan untuk dibuat tempoyak.
“Ramai fikirkan durian kampung tidak berkualiti tetapi sekarang isi durian kampung pun cantik dan sedap. Kalau hujung minggu memang ramai orang datang ke Hulu Besut semata-mata untuk mencari durian kampung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Gaung, di sini.
Kamaruddin yang menjual durian sejak 1980 berkata, setakat ini dia mempunyai bekalan kira-kira satu tan metrik durian dalam tempoh seminggu untuk dijual sendiri dan kepada pemborong tempatan.
Seorang lagi peniaga, Siti Rohana Sidi Hamad, 64, berkata, musim durian dijangka lebih meriah menjelang akhir Julai apabila lebih banyak buah mula luruh.-UTUSAN.











