Brazil sahkan mesej misteri dihantar oleh penggodam - Utusan Malaysia

Brazil sahkan mesej misteri dihantar oleh penggodam

MESEJ misteri dihantar kepada pengguna telefon bimbit di Brazil. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAO PAULO: Kerajaan Brazil mengesahkan bahawa satu hantaran amaran tanpa kebenaran yang mengandungi mesej misteri dan dihantar ke telefon bimbit di beberapa wilayah di seluruh negara pada pagi Sabtu disyaki merupakan perbuatan penggodam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejumlah telefon bimbit dilaporkan menerima mesej tertera perkataan ‘misantropi4’, iaitu ejaan alfanumerik bagi perkataan bahasa Portugis ‘misantropia’ yang membawa maksud kebencian terhadap umat manusia. 

Huruf terakhir ‘a’ dalam perkataan itu telah digantikan dengan angka ‘4’ iaitu satu amalan yang sering digunakan oleh penggodam.

Amaran yang dikategorikan sebagai ekstrem itu pada mulanya diterima di wilayah selatan Parana. Ia berlaku  sebelum amaran kedua dicetuskan beberapa minit kemudian melibatkan te­lefon bimbit di bandar-bandar utama termasuk Sao Paulo dan Rio de Janeiro.

Sistem teks kecemasan negara itu berfungsi menyamai sistem Isyarat Kecemasan Tanpa Wayar (WEA) di Amerika Syarikat (AS), atau lebih dikenali oleh kebanyakan rakyat AS sebagai AMBER iaitu amaran kecemasan untuk mencari kanak-kanak.

Ia membolehkan pihak ber­kuasa menyiarkan mesej teks kecemasan pendek secara langsung ke telefon bimbit dalam kawasan geografi tertentu, tanpa mengira nombor telefon atau rangkaian talian.

Menurut pihak berkuasa Brazil, platform amaran Pertahanan Awam Kebangsaan terpaksa ditutup.

Ia berlaku  selepas menjadi sasaran serangan yang kemungkinan besar dilakukan oleh penggodam. Pihak kerajaan kini sedang berusaha untuk memulihkan semula sistem tersebut selepas semua syarat keselamatan dipenuhi.

Kenyataan Pertahanan Awam Kebangsaan Brazil mengesahkan bahawa amaran palsu itu dicetuskan secara kawalan jauh oleh individu yang bukan sebahagian daripada Sistem Perlin­dungan dan Pertahanan Awam Kebangsaan.

“Mesej yang dihantar adalah daripada jenis ‘Amaran Ekstrem’. Ia berkemungkinan besar merupakan satu serangan siber oleh penggodam,” jelas agensi itu dalam satu kenyataan. – CNN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN