Semua pusat jagaan, taska wajib daftar

Semua pusat jagaan, taska wajib daftar

KEGAGALAN mematuhi syarat tersebut boleh menyebabkan mereka berdepan tindakan melalui penguatkuasaan tegas termasuk penutupan premis atau pe­nyitaan serta-merta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pusat jagaan dan taman asuhan kanak-kanak (taska) di negara ini perlu memastikan pengoperasian adalah secara sah dan berdaftar.

Kegagalan mematuhi syarat tersebut boleh menyebabkan mereka berdepan tindakan melalui penguatkuasaan tegas termasuk penutupan premis atau pe­nyitaan serta-merta.

Langkah itu dibuat melalui Pasukan Petugas Khas Tindakan Penguatkuasaan Pemutihan ke atas Pusat Jagaan dan Taska Tidak Berdaftar di seluruh negara termasuk pengusaha taska di rumah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, setakat ini hasil pe­nguatkuasaan pemutihan ke atas Taska yang dilaksanakan sejak 2023, sejumlah 1,226 premis premis telah dikenakan tindakan.

Katanya, daripada jumlah itu, seba­nyak 731 premis telah berhenti operasi, 425 lulus perakuan pendaftaran, lapan premis dikenakan tindakan penyitaan, 58 kompaun dan empat premis didakwa.

“Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memang dari semasa ke semasa melakukan penguatkuasaan termasuk berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima daripada orang awam.

“Peraturan Operasi Standard (POS) Tindakan Penguatkuasaan Taman Asuhan Kanak-Kanak dan Pusat Jagaan dikuatkuasakan sejak 2023 sebagai rujukan bagi memperkasakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) dan Akta Pusat Jagaan 1993.

“Enam tindakan penguatkuasaan boleh diambil ke atas pusat jagaan dan taska iaitu arahan bertulis, perintah penutupan, pembatalan pendaftaran, lak, kompaun dan pendakwaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Nancy, JKM merekodkan sebanyak 1,354 Pusat Jagaan Kanak-Kanak Berdaftar di bawah JKM di seluruh negara setakat Mac lalu melibatkan 4,564 penjaga dan 34,898 penghuni.

Katanya, sebanyak 3,322 taska berdaftar di bawah JKM di seluruh negara sehingga Mac 2026 melibatkan 14,859 pengusaha dan 63,221 kanak-kanak.

“Ia meliputi taska di tempat kerja, taska komuniti dan taska di rumah sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 5 Akta 308,” katanya.

Katanya, daripada ­jumlah itu, hanya 280 taska yang beroperasi di rumah berdaftar yang turut tertakluk kepada akta berkenaan dengan mensyaratkan jumlah kanak-kanak jagaan antara empat hingga sembilan orang.

“JKM juga mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan dan taska. Pengendali atau penyelia hendaklah menghadiri latihan kursus asas pertolongan cemas dan resusitasi kardiopulmonari (CPR),” katanya.

Beliau berkata, pendaftaran pusat jagaan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dan Taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau undang-undang kerajaan tempatan.

Selain itu, katanya pengendali pusat jagaan dan pengusaha taska perlu mendapat kelulusan atau sokongan agensi teknikal seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), bomba dan pejabat kesihatan daerah.

“Standard minimum JKM pula mensyaratkan nisbah penjaga atau pengasuh dan peng­huni dengan keluasan lantai dengan bilangan penghuni yang boleh diterima masuk dan menu makanan mengikut diet pemakanan yang diluluskan Kementerian Kesihatan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×