BEIRUT: Sumber Israel melaporkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera menghentikan operasi mereka di selatan Lubnan.
Berita itu tersebar selepas Iran pada Sabtu mengumumkan bahawa ia akan menutup selat tersebut sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di Lubnan dengan menyifatkannya sebagai pelanggaran terhadap perjanjian rapuhnya dengan Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, tentera AS menafikan ia telah ditutup dengan mempertikaikan pengumuman tersebut dan menyatakan bahawa trafik maritim masih berjalan seperti biasa dengan tentera Amerika sedang memantau situasi di selat tersebut.
Namun, setakat ini alasan yang dibuat bagi menghentikan arahan dibuat Netanyahu bersama Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz adalah berdasarkan penilaian situasi dalam operasi tersebut.
Arahan itu tidak melibatkan pengunduran daripada zon keselamatan yang masih dikuasai tentera Israel di selatan Lubnan.
Saluran Channel 12 Israel melaporkan keputusan Netanyahu dan Katz itu dibuat dengan penyelarasan melibatkan AS.
Ia juga dibuat sebelum rundingan damai antara AS dengan Iran dibincangkan di Switzerland.
Rundingan itu diadakan selepas perjanjian damai ditandatangani oleh Presiden Donald Trump dan rakan sejawatannya dari Iran, Masoud Pezeshkian pada Rabu bagi menamatkan perang yang turut melibatkan Israel serta bermula pada 28 Februari sehingga mengorbankan pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.
Sementara itu, seorang pegawai Israel berkata: “Tentera mempunyai kebebasan bertindak untuk menghapuskan ancaman di selatan Lubnan. Jika Hizbullah melanggar gencatan senjata, tentera akan bertindak balas dengan tegas. Tentera beroperasi secara bebas dalam Garisan Kuning di Lubnan.”
Tentera Israel memaklumkan seorang anggotanya terbunuh dalam pertempuran, menjadikannya kematian kelima sejak perjanjian AS-Iran dicapai.
Seorang pegawai tentera Israel kemudian berkata, pihak tentera menerima arahan daripada kepimpinan politik negara itu untuk menghentikan tembakan. Beliau mendakwa pasukan Israel tidak melancarkan serangan secara proaktif dan hanya bertindak mempertahankan kedudukan dalam zon keselamatan.
Terdahulu, agensi pertahanan awam Lubnan berkata, anggotanya membawa 16 mayat dan 12 mangsa cedera ke hospital, menurut satu kenyataan yang menambah pasukan itu bertugas sejak awal pagi sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan yang menyasarkan kawasan tersebut.
Media kerajaan Lubnan melaporkan serangan udara Israel ke atas kira-kira 20 lokasi, dengan pihak berkuasa merekodkan lebih 30 kematian. Kementerian Kesihatan Lubnan pula memaklumkan jumlah korban keseluruhan akibat pertempuran itu kini melepasi 4,000 orang.
Israel dan Hizbullah telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata pada Jumaat, selepas serangan maut antara kedua-dua pihak di Lubnan yang memberi tekanan kepada perjanjian untuk menamatkan perang di Asia Barat, kurang daripada dua hari selepas ia ditandatangani.










