KADAR pemilikan rumah di Malaysia masih kekal tinggi, namun golongan muda khususnya yang baharu memasuki alam pekerjaan berdepan cabaran untuk memiliki kediaman sendiri.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Research Institute (KRI), kadar pemilikan rumah keseluruhan dianggarkan sekitar 76 hingga 77 peratus.
Bagaimanapun, kadar tersebut lebih rendah dalam kalangan individu berusia antara 20 hingga 39 tahun.
Berdasarkan anggaran semasa, kira-kira 55 hingga 65 peratus golongan muda masih menyewa rumah atau bilik kediaman, manakala hanya sekitar 35 hingga 45 peratus memiliki rumah sendiri.
Pakar urus sewa hartanah dan Pengasas Gang Room Rental, Rosilawate Mustapa berkata, trend tersebut lebih ketara di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang apabila kadar penyewa dalam kalangan golongan muda boleh melebihi 70 peratus.
Menurutnya, keadaan itu didorong beberapa faktor utama termasuk harga rumah yang tinggi, peningkatan kos sara hidup serta perubahan corak pekerjaan dalam kalangan generasi muda.
“Segmen ini semakin mendapat sambutan dalam kalangan pekerja muda kerana menawarkan kos sewaan lebih rendah, fleksibiliti tempoh penyewaan serta lokasi yang lebih dekat dengan pusat pekerjaan.
“Trend penyewaan dalam kalangan generasi muda dijangka berterusan dalam jangka sederhana selagi isu kemampuan memiliki rumah, khususnya di bandar utama, belum dapat ditangani secara menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, majoriti golongan graduan baharu sehingga usia sekitar 30 tahun masih belum bersedia untuk membeli rumah kerana komitmen kewangan yang tinggi.
“Mereka perlu memberi keutamaan kepada simpanan dan perbelanjaan asas, selain belum mampu menanggung bayaran ansuran rumah yang boleh mencecah antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.
“Berdasarkan purata pendapatan golongan muda sekitar RM2,500 hingga RM3,500 sebulan, baki selepas ditolak kos sara hidup adalah terhad, sekali gus menjadikan sewaan bilik sebagai pilihan lebih praktikal pada fasa awal kerjaya,” ujarnya.
Beliau berkata, kekerapan pertukaran pekerjaan dalam kalangan graduan baharu turut menjadi antara faktor yang mendorong kepada pilihan menyewa bilik, memandangkan mereka masih belum mempunyai lokasi kediaman tetap untuk jangka masa panjang.
Katanya, faktor pekerjaan yang banyak tertumpu di kawasan bandar, sedangkan harga rumah di lokasi tersebut kini mencecah RM400,000 ke atas, menjadikan pembelian rumah sebagai langkah yang kurang sesuai pada peringkat permulaan kerjaya.
“Justeru itu, pilihan bilik yang lengkap dengan perabot serta terletak di lokasi strategik berhampiran pengangkutan awam turut menjadi faktor tarikan utama.
“Banyak lagi faktor lain yang menyebabkan golongan muda memilih sewa bilik sebagai langkah awal sebelum mampu membeli rumah.
“Selain itu, antara faktor lain termasuk gaya hidup generasi muda yang lebih cenderung kepada perbelanjaan penggunaan seperti makan di kafe hipster, yang dilihat mengambil sebahagian besar pendapatan bulanan.
“Trend semasa menunjukkan golongan muda gemar berkunjung ke kafe untuk bersantai, dengan harga satu hidangan yang boleh mencecah RM50 ke atas,” katanya.
Beliau yang turut dikenali sebagai Kak Long Shila (KLS) berkata, walaupun terdapat pandangan bahawa membeli rumah lebih baik berbanding menyewa, pandangan itu lebih sesuai bagi individu yang sudah stabil dari segi kewangan.
“Bagi golongan muda, keutamaan mereka biasanya adalah menstabilkan kehidupan, membeli kenderaan, membina simpanan serta menikmati kehidupan sebelum membuat komitmen besar seperti membeli rumah.
“Dalam pada itu, masih ramai dalam kalangan mereka yang tinggal bersama ibu bapa kerana saiz keluarga yang lebih kecil dan rumah keluarga masih mampu menampung mereka dengan selesa.
“Oleh itu, mereka tidak melihat keperluan untuk membeli rumah pada usia muda walaupun terdapat pelbagai skim bantuan kerajaan untuk pembeli rumah pertama,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, sewaan bilik bukan bersifat kekal, sebaliknya menjadi langkah sementara dalam fasa awal pembinaan kewangan diri.
“Apabila kekuatan ekonomi sudah kukuh, mereka akan beralih kepada penyewaan unit kediaman penuh apabila memulakan kehidupan berkeluarga.
“Kemudian, mereka akan naik satu tahap lagi apabila mampu memiliki rumah sendiri selepas mengukuhkan kedudukan kewangan,” katanya. – UTUSAN










