Terkejut lihat bumbung rumah tercabut dibadai ribut

Terkejut lihat bumbung rumah tercabut dibadai ribut

KEADAAN rumah yang rosak akibat ribut di Bercham di Ipoh, Perak semalam. – MINGGUAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila kediamannya di Anjung Bercham, Taman Idaman di sini mengalami kerosakan akibat dibadai ribut, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Chua, 37, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, dia berada di dalam rumah bersama isteri dan seorang anak sebelum terdengar bunyi de­ruan angin yang sangat kuat.

Katanya, bunyi tersebut disusuli tiupan angin luar biasa sehingga menyebabkan pintu dan tingkap rumah bergoyang de­ngan kuat, sekali gus mencetuskan suasana cemas buat mereka sekeluarga.

“Saya segera keluar untuk melihat keadaan dan mendapati pokok bunga tumbang manakala pakaian yang dijemur dan kasut yang berada di luar rumah turut berterbangan ditiup angin.

“Keadaan ketika itu sangat menakutkan apabila melihat bumbung rumah tercabut terutama di bahagian tengah menyebabkan air hujan masuk ke dalam,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Setakat ini, kira-kira 250 rumah dikenal pasti mengalami kerosakan, bagaimanapun jumlah sebenar yang rosak dan jumlah kerugian masih ditaksirkan.

Menurutnya, dalam keadaan mencemaskan itu, dia sekeluarga hanya mampu mencari tempat berlindung dan bersyukur mereka bertiga selamat tanpa sebarang kecederaan

Katanya, mereka menyewa rumah tersebut sejak beberapa tahun lalu dan kini bimbang dengan keadaan kediaman yang rosak serta memerlukan kerja-kerja pembaikan segera.

“Bahagian tengah rumah dan dapur paling teruk. Atap hilang diterbangkan angin dan perabot rosak terkena air hujan,” kata­nya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham, Ong Boon Piow memaklumkan, kawasan terjejas kini telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana.

Katanya, pengisytiharan kawasan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta itu membolehkan semua jabatan dan agensi membantu menyelaras penyaluran bantuan yang bersesuaian kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

“Kita telah membuka pusat bantuan di Dewan Dato Sham, Kampung Tersusun Tasek bermula pukul 10 pagi tadi dengan kehadiran pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi tujuan permohonan bantuan itu, saya nasihatkan mangsa supaya membuat laporan polis dan mengambil gambar kerosakan rumah masing-masing,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×