KOTA BHARU: Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang ditemukan mati dalam keadaan tergantung pada 2013, menuntut pihak berkuasa mendedahkan status perkembangan terkini siasatan kes kematian pelajar tahfiz itu yang belum menemui titik noktah.
Ibunya, Ruhani Hussain, 71, berkata, seluruh ahli keluarga masih menantikan penjelasan rasmi mengenainya.
Katanya, dia turut mengambil maklum akan kenyataan Jabatan Peguam Negara yang meminta supaya diberikan sedikit masa sebagaimana dilaporkan oleh media sebelum ini.
“Kami hormati proses perundangan yang sedang berjalan dan sentiasa memberikan kerjasama bagi memastikan kebenaran ditegakkan selain memahami bahawa siasatan kes ini berdepan cabaran berikutan masa yang telah lama berlalu.
“Namun, berharap pihak berkuasa menjelaskan lebih terperinci apa halangan dan cabaran dihadapi dalam siasatan itu, supaya segala persoalan berbangkit dapat difahami dengan jelas oleh keluarga dan masyarakat,” katanya.
Ruhani berkata, dia menuntut penjelasan berhubung tindakan merobohkan kawasan tandas yang menjadi lokasi kejadian semasa proses siasatan masih berjalan kerana ia bukan sahaja menjejaskan malah menyukarkan siasatan.
“Perkara ini dibangkitkan kerana ia adalah lokasi sebenar kejadian dan mempunyai nilai penting untuk sebarang pemeriksaan semula atau penelitian lanjut yang mungkin diperlukan.
“Penjelasan ini penting bagi memberikan keyakinan bahawa semua aspek yang berpotensi membantu pencarian kebenaran diambil kira, dipelihara dan diteliti secara menyeluruh sepanjang proses siasatan dijalankan,” katanya.
Dia berharap persoalan tertangguh dijawab telus, adil dan berlandaskan fakta demi keadilan arwah.
Utusan Malaysia pada 20 Ogos tahun lalu melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula kertas siasatan berhubung kes Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013. – UTUSAN











