PETALING JAYA: Tunggakan gaji dan urusan membawa pulang anak kapal yang terkandas di luar negara menjadi tanggungjawab pemilik kapal sebagaimana ditetapkan di bawah Konvensyen Buruh Maritim (MLC).
Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA), Mohamed Safwan Othman berkata, pemilik kapal juga wajib menyediakan keperluan asas serta memastikan kebajikan anak kapal terus terpelihara.
Beliau berkata, MLC yang diguna pakai dalam industri perkapalan global menggariskan tanggungjawab menyeluruh pemilik kapal terhadap anak kapal.
“Setiap pemilik kapal perlu mematuhi Konvensyen Buruh Maritim yang telah diguna pakai oleh industri perkapalan global.
“MLC menggariskan tanggungjawab pemilik kapal terhadap anak kapal termasuk keperluan asas, pembayaran gaji dan tanggungjawab menghantar pulang anak kapal melalui Perjanjian Pekerjaan Pelaut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohamed Safwan berkata, kapal juga perlu mempunyai perlindungan insurans mandatori sebelum dibenarkan berlayar bagi memastikan hak anak kapal terus terjamin sekiranya syarikat gagal membayar gaji atau memenuhi tanggungjawab lain.
Beliau berkata, sekiranya pemilik kapal gagal menjaga kebajikan anak kapal, pihak berkuasa negara tempat kapal didaftarkan atau negara pelabuhan boleh mengambil tindakan.
Katanya, tindakan tersebut termasuk menahan kapal bagi memastikan tuntutan kebajikan anak kapal dapat diselesaikan.
Jelasnya, penahanan kapal lazimnya bertujuan membolehkan perbincangan antara pemilik kapal dengan anak kapal dilakukan di bawah pemerhatian pihak berkuasa.
“Kapal merupakan aset yang berdaftar di bawah bendera sesebuah negara. Pihak berkuasa negara kapal itu didaftarkan boleh mengambil tindakan sebagai Flag State.
“Negara pelabuhan tempat kapal berlabuh pula boleh mengambil tindakan sebagai Port State. Kedua-duanya boleh menahan kapal bagi memastikan kebajikan anak kapal dapat dituntut,” katanya.
Mohamed Safwan berkata, kebajikan pekerja perlu menjadi antara keutamaan setiap syarikat, termasuk ketika berdepan kekangan akibat krisis semasa.
“Kebajikan pekerja ialah antara keutamaan bagi setiap syarikat. Pelaut yang terkandas perlu diberikan perhatian oleh pihak syarikat.
“Namun, kekangan yang dihadapi syarikat berhubung kapal dan kru akibat krisis semasa juga perlu difahami. Justeru, syarikat perlu telus dalam setiap tindakan yang diambil,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, lima kru MV Berkat Tuah termasuk empat rakyat Malaysia terkandas hampir sembilan bulan, manakala gaji mereka belum dibayar selama empat bulan.
Lima kru terbabit ialah Kapten kapal, Hendi Irawan, 43, dari Jakarta, Indonesia; Mohamad Luqman Yahaya, 31, dari Felda Kerteh, Terengganu; Mark Martin, 39, dari Sarawak; Mohd. Shah Rizan Rahman, 33, dan Mohd. Fariduddin Muhamad Jainudin, 26, dari Sabah.
Difahamkan, satu mesyuarat melibatkan beberapa pihak berkepentingan dijangka diadakan minggu ini bagi membincangkan kebajikan, tunggakan gaji dan penghantaran pulang kesemua kru terbabit. – UTUSAN










