Jangan ambil jurulatih ‘kitar semula’

Jangan ambil jurulatih ‘kitar semula’

Peter Cklamovski tidak lagi menjadi pengendali skuad Harimau Malaya susulan penamatan kontraknya berdasakan persetujuan bersama. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dinasihatkan agar tidak mengambil pendekatan mengambil calon ‘kitar semula’ untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Penganalisis bola sepak tempatan, Azlan Johar berpandangan, FAM perlu berani melakukan pembaharuan secara menyeluruh tanpa kembali mengitar semula nama-nama lama yang pernah dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih negara.

Katanya, pendekatan ‘calon kitar semula’ hanya akan membantutkan perkembangan bola sepak negara sekiranya tidak disertakan dengan penilaian baharu berdasarkan prestasi semasa dan keperluan sebenar pasukan.

“Kita jangan asyik kitar calon yang sama. Kalau tidak diberi peluang kepada jurulatih baharu, macam mana kita nak tahu potensi sebenar mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

FAM sebelum ini menamatkan kontrak pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski dan Ketua Pegawai Ekesekutif, Rob Friend atas persetujuan bersama.

Azlan menjelaskan, Malaysia mempunyai pilihan sama ada jurulatih tempatan mahupun luar negara, namun keputusan perlu dibuat berdasarkan kesesuaian projek pembangunan jangka panjang, bukan sekadar populariti nama.

Katanya, pengalaman lampau membuktikan kejayaan hanya boleh dicapai apabila jurulatih diberikan tempoh mencukupi untuk membina pasukan yang stabil dan berdaya saing.

“Jurulatih perlukan masa, pemain perlukan keyakinan. Bila dua-dua ini selari, barulah kita boleh nampak hasilnya,” ujarnya.

Sementara itu, pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, keputusan penamatan kontrak tersebut perlu dihormati kerana ia dipercayai dibuat secara persetujuan bersama antara pihak terlibat.

“Jurulatih datang dan pergi, itu lumrah. Kita tidak boleh terlalu emosional dalam menilai perkara ini.

“Inilah masanya kita nak buat pembersihan.Kalau nak bersihkan Harimau Malaya, buatlah betul-betul. Jangan separuh jalan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN