MOSCOW: Russia berikrar akan bertindak balas terhadap serangan dron terbesar Ukraine di Moscow sehingga menyebabkan 17 orang cedera pada Khamis.
Wartawan AFP menyaksikan pemandangan dramatik asap hitam tebal berkepul-kepul di ruang udara bahagian selatan ibu negara, manakala titisan hujan berwarna hitam yang bercampur jelaga turut gugur dari langit.
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, berikrar bahawa Moscow akan membalas dengan melancarkan serangan besar-besaran terhadap Ukraine.
Ukraine melancarkan serangan dron terbesar ke atas Russia, mencetuskan kebakaran di Moscow termasuk sebuah kilang penapisan minyak utama dan memaksa pemindahan di lapangan terbang terbesar negara itu.
Serangan tersebut, turut menyebabkan kebakaran di sebuah pusat beli-belah dan bangunan pangsapuri di Moscow.
Rakaman tidak disahkan yang tersebar di media sosial menunjukkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi langit bandar raya tersebut, manakala beberapa video lain memaparkan dron berterbangan di ruang udara ibu negara Russia itu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menyifatkan serangan ke atas kilang penapisan minyak Moscow sebagai ‘tindak balas yang wajar’ terhadap serangan Russia ke atas bandar dan komuniti Ukraine.
Beliau dalam hantaran di platform X turut berkata, Kyiv melancarkan serangan ke atas sasaran di wilayah Rostov, Russia dan kawasan pendudukan di Ukraine.
“Ukraine tidak mahu perang ini, kami tidak pernah mahukannya, dan semua orang tahu perkara itu, termasuk rakan-rakan kami. Tetapi, jika Ukraine dibakar, Moscow juga akan terbakar,” kata Zelensky dalam satu mesej suara kepada wartawan melalui kumpulan WhatsApp.
Serangan berskala besar itu berlaku beberapa jam sebelum Presiden Russia, Vladimir Putin, bertemu pemimpin Asia Tenggara termasuk Malaysia dalam satu sidang kemuncak di bandar Kazan, kira-kira 700 kilometer (km) di timur Moscow. – AGENSI










