EVIAN: Negara-negara Eropah dalam Kumpulan Tujuh (G7) bersama Amerika Syarikat (AS) bersetuju memberikan lesen kepada syarikat di Ukraine untuk mengeluarkan peluru berpandu jarak jauh dan sistem pertahanan udara, dalam usaha memperkukuh keupayaan ketenteraan Kyiv menghadapi Russia.
Sumber diplomatik berkata, keputusan itu dicapai sempena sidang kemuncak G7 yang berlangsung selama tiga hari di bandar Evian, Perancis.
Langkah itu dibuat ketika pemimpin Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan AS berikrar meningkatkan tekanan terhadap Russia bagi menamatkan perang yang berlarutan lebih empat tahun di Ukraine.
“Kami akan mengeluarkan bukan sahaja sistem pertahanan udara berlesen, malah keupayaan serangan jarak jauh,” katanya pada Rabu.
Canselor Jerman, Friedrich Merz mengesahkan keputusan itu dan berkata, kapasiti pengeluaran senjata sedia ada ketika ini masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.
“Kita semua menghasilkan terlalu sedikit ketika ini dan keadaan itu boleh diatasi dengan memberikan lesen kepada syarikat yang mempunyai keupayaan pengeluaran, termasuk firma di Eropah dan Ukraine,” katanya kepada wartawan.
Menurut Merz, syarikat AS khususnya akan dibenarkan memberikan lesen kepada pengeluar Eropah, sambil merakamkan penghargaan kepada Presiden AS, Donald Trump atas kesediaan Washington untuk bekerjasama.
Keputusan itu dibuat susulan kenyataan bersama G7 yang dikeluarkan kelmarin, berikrar untuk meningkatkan penghantaran keupayaan pertahanan udara, sistem, peluru pemintas tambahan dan aset serangan jarak jauh kepada Ukraine, selain mempertimbangkan pemberian lesen
bagi memperkukuh pengeluaran ketenteraan domestik negara itu.
Kyiv, yang berdepan serangan udara besar-besaran Russia dan kekurangan peluru bagi sistem pertahanan udara, terus bergantung kepada sokongan sekutu Barat untuk menangkis serangan peluru berpandu Moscow.
Perang di Asia Barat turut memburukkan lagi kekurangan bekalan peluru pertahanan udara yang dihadapi Ukraine sejak konflik bermula, selepas sekutu AS menggunakan sejumlah besar peluru berkenaan untuk melindungi lokasi strategik di rantau Teluk daripada serangan. – AFP











