HELSINKI: Parlimen Finland mengundi untuk memansuhkan larangan menyeluruh terhadap senjata nuklear di negara itu bagi menyelaraskan dasar pertahanannya dengan strategi pencegahan nuklear Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas menyertai pakatan tersebut pada 2023.
Rang undang-undang itu akan membenarkan senjata nuklear dibawa masuk, diangkut, dibekalkan atau dimiliki di Finland sekiranya diperlukan untuk pertahanan ketenteraan negara itu.
Seramai 125 ahli Parlimen menyokong cadangan kerajaan, manakala 61 mengundi menentangnya dan 13 lagi tidak hadir semasa pengundian.
Selepas diluluskan Parlimen, rang undang-undang itu hanya memerlukan perkenan presiden untuk berkuat kuasa.
Keputusan itu membatalkan larangan nasional terhadap pengimportan, pengeluaran, pemilikan dan peledakan bahan letupan nuklear yang termaktub dalam Akta Tenaga Nuklear Finland sejak tahun 1980-an.
Ia juga meminda Kanun Keseksaan bagi memasukkan pengecualian terhadap larangan berkaitan senjata nuklear.
“Dengan cadangan ini, kami memperkukuh pertahanan Finland dan membolehkan penggunaan sepenuhnya ‘payung pencegahan nuklear’ NATO sebagai perlindungan untuk Finland,” kata Menteri Pertahanan Finland, Antti Hakkanen, menerusi platform X pada Selasa, sehari sebelum pengundian.
Negara Nordik itu menamatkan dasar berkecuali ketenteraan yang diamalkan selama beberapa dekad untuk menyertai NATO pada April 2023.
Cadangan tersebut mencetuskan perdebatan di Finland sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila parti-parti pembangkang mengkritik perubahan pendirian negara itu daripada dasar lama yang melarang senjata nuklear.
Perdana Menteri Finland, Petteri Orpo awal bulan ini berkata, Finland berminat untuk menyertai skim pencegahan nuklear yang diterajui Perancis bagi memperkukuh keselamatan di benua Eropah, namun tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.
Pada Mac lalu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan program yang membolehkan Perancis, satu-satunya negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang memiliki senjata nuklear, menggunakan simpanan senjata atomnya untuk memperkukuh keselamatan di seluruh benua itu. – AFP










