ALOR SETAR: Dakwaan pesawah sengaja melengahkan proses tanaman padi bagi musim 1/2026 adalah tidak benar kerana kelewatan memulakan musim penanaman itu disebabkan faktor luaran.
Pengerusi Badan Bertindak Petani di Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Mat Zain berkata, mereka tidak pernah berniat meninggalkan aktiviti sawah kerana ia sudah menjadi darah daging sejak dahulu.
Beliau justeru berharap semua pihak berhenti daripada terus memainkan naratif kononnya pesawah enggan menanam padi sehingga berlaku kelewatan terhadap aktiviti penanaman.
“Apa yang pesawah perlukan adalah jaminan bekalan air mencukupi, sokongan bagi mengawal kos operasi seperti cadangan pemberian kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta dasar yang mampu membantu meningkatkan pendapatan.
“Malah pesawah akan terus komited menghasilkan bekalan ruji bagi memastikan tahap kadar sara diri (SSL) negara terjamin namun amat memerlukan sebuah ekosistem yang menyokong kelangsungan industri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 11 Jun lalu, akhbar ini melaporkan aktiviti penanaman padi bagi musim 1/2026 di kawasan jelapang padi di negeri ini dan Perlis masih berada pada tahap 28.8 peratus berdasarkan rekod sehingga hari berkenaan.-UTUSAN.











