KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) berpotensi dibubarkan jika tiada keputusan daripada Majlis Presiden berhubung penggunaan logo PN yang menjadi perebutan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Berdasarkan fasal 7A.4 perlembagaan PN secara jelas menyatakan ‘keputusan Majlis Presiden hendaklah diputuskan secara konsensus’, yang bermakna semua presiden parti komponen PN perlu bersetuju dengan sesuatu keputusan, malah keputusan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan undi majoriti.
Jika keputusan dibuat tanpa memenuhi syarat konsensus tersebut, tindakan berkenaan boleh dianggap bercanggah dengan perlembagaan PN yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Malah, keadaan akan menjadi kritikal jika logo itu tidak boleh digunakan dalam berdepan pilihan raya termasuk paling hampir ketika ini, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegarah RoS, Datuk Zulfikar Ahmad berkata, pihaknya boleh menjalankan siasatan jika terdapat aduan yang diterima daripada mana-mana pihak.
“Sekiranya ada mana-mana pihak yang datang membuat aduan kepada RoS, tugas kami adalah menjalankan siasatan sebaik sahaja aduan dibuat.
“Bagaimanapun, sesebuah parti yang telah didaftarkan secara sah, jaranglah untuk kita bubarkan melainkan pihak mereka tidak menghantar minit atau tidak mengadakan sebarang mesyuarat, jadi pihak kami akan membuat teguran.
“Namun, jika ingin membubarkan sesebuah gabungan, ia perlu mendapatkan persetujuan daripada semua yang terlibat,” katanya.
Di bawah Akta Pertubuhan 1966, RoS mempunyai kuasa untuk menyiasat, mengarahkan pembetulan atau mengambil tindakan terhadap pertubuhan yang gagal mematuhi perlembagaan sendiri, termasuk dalam keadaan melibatkan pertikaian kepimpinan atau keputusan yang dibuat tidak mengikut prosedur ditetapkan.
Ketika ini, PN berdepan krisis dalaman paling serius sejak ditubuhkan pada 2020 apabila Pas dan Bersatu sudah ‘bercerai’.
Pas yang kini merupakan parti terbesar dalam PN dari segi jumlah kerusi Parlimen, dilihat semakin lantang menuntut peranan lebih dominan dalam menentukan masa depan gabungan berkenaan.
Perselisihan mengenai penggunaan logo semakin ketara dalam kalangan pemimpin PN apabila masing-masing mendakwa layak berbuat demikian.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyifatkan kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebagai tindakan yang tergesa-gesa.
Menurut beliau, kuasa untuk mengeluarkan watikah penggunaan logo PN bukan terletak pada presiden sesebuah parti, sebaliknya di bawah bidang kuasa Pengerusi PN.
“Saya rasa ada kekeliruan di pihak beliau (Muhyiddin) kerana kuasa atau watikah itu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya presiden parti.
“Mungkin beliau beranggapan perkara itu boleh diputuskan dengan mudah, tetapi ada prosedur dan peraturan yang perlu dipatuhi,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pengkalan Chepa yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud semalam.
Mohd. Amar turut mempersoalkan sikap Muhyiddin yang kini dilihat lebih terbuka menerima kemasukan parti-parti lain ke dalam PN.
Katanya, sebelum ini Presiden Bersatu itu menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra) untuk menyertai gabungan tersebut.
“Saya hairan kerana dahulu beliau menolak Pejuang dan Putra untuk menyertai PN. Namun selepas timbul situasi ini, beliau pula membuka ruang kepada parti-parti lain.
“Keadaan itu menimbulkan persepsi seolah-olah wujud amalan double standard dalam pendirian beliau,” katanya.
Terdahulu Muhyiddin berkata, partinya akan kekal sebagai parti komponen dalam PN dan akan menggunakan logo perikatan itu dalam pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 11 Julai dan 1 Ogos.
Muhyiddin menegaskan bahawa parti itu tidak boleh disingkirkan daripada PN secara unilateral atau berdasarkan keputusan mana-mana parti tunggal.
“Kami akan terus kekal sebagai ahli PN, dan tiada parti boleh mengambil tindakan untuk menyingkirkan Bersatu daripada PN secara unilateral.
“Jika kita mematuhi perlembagaan, terdapat perkara dan klausa tertentu yang mesti dipatuhi. Mereka mesti mematuhi peruntukan dan mencapai kata sepakat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi di ibu pejabat Bersatu malam semalam.
Ketika ini, kedua-dua pihak masih menyatakan hasrat untuk kekal dalam PN dan menggunakan logo gabungan berkenaan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Tun Ismail Aziz berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa perkara ketika ditanya adakah Bersatu akan membuat aduan kepada RoS mengenai perkara ini.
“Bersatu sedang memantau tindakan-tindakan Pas. Setakat ini memang banyak tindakan Pas yang bertentangan dengan Perlembagaan, keputusan-keputusan Mesyuarat Meyuarat Tertinggi PN dan melanggar kepentingan-kepentingan PN serta mengakibatkan ketidak harmonian dalam PN,” katanya. – UTUSAN











