ASEAN perlu wujudkan dasar perlindungan pelarian serantau

ASEAN perlu wujudkan dasar perlindungan pelarian serantau

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ASEAN perlu mewujudkan satu dasar perlindungan pelarian serantau yang lebih formal dan mengikat dalam menangani isu pelarian seperti Rohingya.

Ini kerana, sehingga kini isu pelarian Rohingya gagal mendapat perhatian wajar daripada kebanyakan negara Asia Tenggara walaupun telah berlarutan sejak lebih sedekad lalu.

Bekas Menteri Luar, Tan Sri Rais Yatim berkata, terdapat negara yang berpegang kepada prinsip tidak campur tangan sehingga mengehadkan keupayaan negara dalam ASEAN untuk mengambil tindakan terhadap negara anggota yang berdepan konflik dalaman.

“Walaupun Myanmar merupakan anggota ASEAN, isu kemasukan dan nasib masyarakat Rohingya sering dilihat tidak mendapat perhatian wajar daripada ASEAN.

“Malah Indonesia mengambil pendekatan lebih tegas terhadap kemasukan pelarian Rohingya melalui penguatkuasaan sempadan dan kawalan kemasukan yang ketat. Kea­daan ini menyebabkan sebahagian pelarian memilih laluan lain termasuk ke Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) disifatkan gagal dan tidak efektif dalam menangani masalah kebanjiran pelarian khususnya etnik Rohingya di Malaysia dan ASEAN.

Dalam pada itu, Rais berkata, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia mempunyai kuasa menentukan kelayakan seseorang warga asing untuk memasuki atau berada di negara ini bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) Seksyen 9.

“Walaupun secara amnya kuasa Ketua Pengarah tertakluk kepada dasar dan arahan Menteri, Seksyen 9 memberikan kuasa khusus kepada Ketua Pengarah untuk membuat keputusan berhubung kemasukan seseorang yang tiba di pintu masuk atau pesisir negara,” jelasnya.

Beliau berkata, usaha untuk memulangkan kembali masyarakat Rohingya kini lebih tertakluk kepada kerjasama antara Malaysia, Myanmar dan Bangladesh.

Dalam pada itu, Pakar Undang-Undang Antarabangsa, Dr. Yazid Zu Kepli berkata, pelarian Rohingya masih boleh ditangkap atau ditahan walaupun mempunyai kad UNHCR.

“Kad UNHCR membantu membuktikan bahawa seseorang itu berdaftar sebagai pelarian atau pemohon suaka dan memerlukan perlindu­ngan antarabangsa tetapi ia bukan pas imigresen Malaysia dan bukan imuniti daripada tindakan undang-undang,” jelasnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×