Muktamar: Pas mahu kemudi PN Selangor

Muktamar: Pas mahu kemudi PN Selangor

PN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas Selangor mahu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor dilantik daripada parti itu bagi mengemudi gabungan berkenaan dalam menghadapi pilihan raya sekali gus menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan.

Wakilnya, Mohamed Sukri Omar berkata, pelantikan berkenaan perlu disegerakan kerana PN tidak boleh lagi berlengah untuk menyusun gerak kerja menghadapi pilihan raya.

“Kita tidak boleh lagi lambat untuk bekerja bagi menghadapi pilihan raya. Kalau Pengerusi PN sedia ada (Datuk Seri Azmin Ali, Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun nak ‘beradinda-adinda’ dengan Menteri Besar (Datuk Seri Amiruddin Shari), ini bukan masanya.

“Pengerusi PN mesti dilantik daripada Pas untuk mengemudi kemenangan di negeri Selangor,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Mohamed Shukri berkata, Pas mempunyai ramai calon yang layak untuk menerajui PN negeri itu termasuk Pesuruhjaya negeri, Datuk Dr. Yunus Hairi.

Pada masa sama, Mohamed Sukri berkata, Pas Selangor menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 12 kerusi Parlimen menerusi agenda penyatuan ummah.

Katanya, mereka sudah bersedia untuk mentadbir negeri itu menerusi dokumen Ihsan 2030 yang disifatkan bukan sekadar dokumen pilihan raya, sebaliknya pelan induk pentadbiran negeri.

“Pas Negeri Selangor menunjukkan komitmen kita untuk mentadbir negeri Selangor dengan menyediakan dokumen pentadbiran iaitu Ihsan 2030 sebagai bentuk persiapan menjadi ‘kerajaan menanti’ ataupun ‘kerajaan menunggu’ untuk negeri Selangor,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×