JAKARTA: Agensi angkasa Amerika Syarikat, (AS), Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah merakam gambar terkini keadaan Kalimantan yang semakin diselubungi asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah.
Dalam gambar terkini itu, pulau yang dikenali sebagai paru-paru dunia itu hampir tidak kelihatan kerana sebahagian besar kawasan ditutupi asap, lapor CNN Indonesia hari ini.
Gambar tersebut diambil pada hari Selasa (1/9) oleh instrumen MODIS pada satelit Aqua milik NASA.
Selain gambar kabut asap, satelit ini juga mengesan hot spot atau titik api kebakaran hutan yang tersebar di beberapa kawasan Kalimantan.
Penyelidik dari Columbia University, AS, Robert Field mendedahkan bahawa salah satu punca kebakaran hutan di Kalimantan adalah fenomena El Nino kategori kuat yang sedang berlaku.
Robert, yang juga membangunkan instrumen Global Fire Weather Database untuk membuat ramalan cuaca kebakaran secara masa nyata, meramalkan keadaan ini boleh menjadi lebih teruk daripada kejadian serupa pada tahun 1997 dan 2015. – AGENSI










