WASHINGTON: Bilangan kes jangkitan parasit lalat cacing skru di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan semakin meningkat berikutan penularan wabak tersebut yang kini dikesan mula merebak ke luar daripada zon kontaminasi awal.
Setakat ini, sebanyak 12 kes melibatkan haiwan disahkan, satu peningkatan ketara berbanding kes pertama yang dikesan pada seekor anak lembu di selatan Texas pada 3 Jun lalu.
Lonjakan bilangan jangkitan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar pertanian yang memberi amaran penularan wabak yang lebih meluas boleh memberi implikasi serius terhadap industri daging lembu di Texas.
Menurut kemas kini yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan, Jabatan Pertanian AS (USDA) pada Khamis lalu, 11 daripada 12 kes yang dilaporkan itu masih aktif, manakala satu kes lagi dikategorikan sebagai tidak aktif.
Kes terbaharu dilaporkan pada 12 Jun di wilayah Sutton, barat Texas, melibatkan seekor biri-biri yang disahkan dijangkiti parasit tersebut.
Beberapa kes lain turut dikenal pasti di beberapa wilayah di Texas termasuk Edwards, Tom Green, Gillespie, La Salle, dan Zavala selain dikesan di wilayah Lea, New Mexico.
Antara haiwan yang dilaporkan dijangkiti setakat ini termasuklah lembu, kambing, biri-biri dan seekor anjing.
Parasit lalat cacing skru merupakan larva lalat yang membiak dengan cara mengorek ke dalam luka terbuka pada haiwan ternakan serta haiwan berdarah panas yang lain sebelum memakan tisu hidup perumahnya. Sifat agresif parasit ini menjadikannya ancaman besar kepada sektor penternakan.
Selama hampir enam dekad, parasit ini amat jarang ditemui di AS selepas ia berjaya dihapuskan secara besar-besaran sekitar tahun 1970-an. Bagaimanapun, kemunculan semula dan kadar penularannya yang pantas mencetuskan kebimbangan ketika harga daging lembu di pasaran global kini sedang melonjak ke paras tertinggi.
Dalam satu kenyataan minggu lalu, Pesuruhjaya Pertanian Texas, Sid Miller memberi amaran keras mengenai penularan berkenaan, menegaskan perkara ini sepatutnya membunyikan amaran kecemasan di seluruh negara.
“Setiap hari kita bertindak lewat, kita memberi peluang lagi kepada perosak ini untuk terus merebak,” katanya yang menggesa agar Sistem Penghapusan Cacing Skru Dewasa (Swass) segera dilaksanakan.
Setiausaha Pertanian AS, Brooke Rollins dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis lalu memaklumkan pihak kerajaan melepaskan sebanyak empat juta lalat mandul di kawasan darat, selain empat juta lagi melalui udara bagi membantu mengekang penularan wabak berkenaan daripada terus meruncing. -AGENSI










