Tuduhan ‘jual tempat’, ‘pintu belakang’ ke UA tidak berasas - Utusan Malaysia

Tuduhan ‘jual tempat’, ‘pintu belakang’ ke UA tidak berasas

UNIMAP membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh PDRM terhadap dakwaan berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Tuduhan dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah berkaitan kewujudan amalan ‘menjual tempat’ dan kemasukan melalui ‘pintu belakang’ ke universiti awam (UA) adalah tidak berasas.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, dakwaan seperti itu menjejaskan reputasi institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) serta menghakis keyakinan masyarakat terhadap sistem kemasukan pelajar.

Katanya, tuduhan sedemikian bukan sahaja tidak berasas, malah mencemarkan reputasi institusi IPTA yang selama ini beroperasi berlandaskan prinsip integriti, ketelusan dan akaun­tabiliti.

Beliau berkata, sistem kema­sukan ke UA di Malaysia dilaksanakan mengikut dasar, syarat dan prosedur ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan agensi berkaitan.

“Sistem kemasukan pelajar ke UA bukanlah sesuatu yang boleh dimanipulasi sesuka hati oleh mana-mana pihak dan ia dilaksanakan melalui proses yang telus, sistematik dan boleh diaudit, sekali gus menjamin keadilan dan peluang sama kepada semua calon yang layak,” katanya.

Tuduhan itu dibuat berdasarkan rakaman video ucapan Haim Hilman sempena Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan yang berlangsung pada 13 Jun lalu.

Ekoran itu, KPT juga sedang meneliti dan mempertimbang tindakan serta prosedur perundangan sewajarnya terhadap tuduhan itu.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) Unimap, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir mewakili pe­ngurusan Unimap membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap dakwaan berkenaan.

“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada polis dan agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang.

“Pada masa sama, Unimap akan terus mempertahankan nama baik universiti dan kredibiliti sistem pendidikan tinggi negara daripada sebarang dakwaan tidak berasas,” katanya.

Sementara itu, Haim Hilman tidak akan menarik balik pendiriannya berhubung isu itu, walaupun KPT mempertimbang tindakan undang-undang.

Beliau berkata, perkara yang dibangkitkan bukan serangan terhadap UA, sebaliknya menyen­tuh soal keadilan, ke­telusan dan akses pendidikan tinggi yang adil kepada masyarakat, khususnya golongan B40 dan M40.

Katanya, KPT perlu menjelaskan secara terbuka jumlah sebenar pelajar tempatan yang memasuki UA selain sistem Unit Pusat Universiti (UPU) setiap tahun, termasuk bilangan tempat yang ditawarkan dalam program kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, farmasi dan perakaunan.

“Rakyat berhak untuk tahu berapa pelajar yang gagal mendapat tempat melalui UPU tetapi berjaya memasuki UA menerusi saluran terbuka de­ngan bayaran yu­ran yang penuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×