Cari jalan dapatkan vaksin Covid-19 selain dari Eropah - Utusan Malaysia

Cari jalan dapatkan vaksin Covid-19 selain dari Eropah

VAKSIN AstraZeneca yang diberikan pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak perlu bergantung harap dengan satu-satu negara pembekal seperti Eropah untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19.

Sebaliknya, kerajaan boleh sahaja menggunakan saluran lain dengan mendapatkan semua jenis vaksin daripada negara-negara pengeluar seperti China dan India.

Dengan itu, tidak timbul isu persaingan atau monopoli menyebabkan kadar vaksinasi di negara ini perlahan berbanding negara lain.

Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Dr. Adlina Suleiman berkata, tiada alasan mengapa vaksinasi di negara ini perlahan kerana pilihan sentiasa ada jika pelannya dirangka lebih jelas.

“Sejak Januari lalu kerajaan maklumkan vaksin sudah tempah dan beli tetapi tak sampai atau bekalan tak cukup. Apa jadi kepada vaksin-vaksin yang sudah ditempah awal ini? Takkan Eropah nak bolot juga semuanya?

“Kalau tidak dapat beli dan bekalkan vaksin dari Eropah, tidak mengapalah. Carilah vaksin lain daripada itu. Kata Eropah nak bolot semua vaksin sedangkan itu hanyalah Pfizer dan Moderna sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin mendakwa, tindakan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) memonopoli agihan vaksin menyebabkan kadar vaksinasi di negara ini ketinggalan.

Khairy juga menggesa Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk semua negara mengiktiraf semua jenis vaksin Covid-19 memandangkan sekarang ini EU hanya menerima vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca manakala China hanya meluluskan vaksin buatannya iaitu Sinovac dan Sinopharm.

Senada dengan Adlina, pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, kerajaan terlalu bergantung dengan vaksin diluluskan WHO sedangkan masih banyak syarikat negara lain yang membangunkan vaksin Covid-19 negara ini boleh dapatkan.

Tambahnya, kelembapan agihan bekalan vaksin dikhuatiri menjejaskan fasa-fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara dirangka kerajaan sekali gus melambatkan imuniti berkelompok 80 peratus.

“Jadi, inilah masanya untuk Malaysia sendiri membuat jalinan diplomasi vaksin secara bilateral iaitu berbaik dengan negara-negara pengeluar lain seperti China.

“Jika setakat menuduh negara lain sebab membolot vaksin tanpa ada jalan penyelesaian atau plan B, ia tidak akan memberi kelebihan kepada kita. Jadi, perbanyakkan saluran lain untuk dapatkan vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×