ALOR SETAR: Ibu kepada Allahyarham Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, yang terkorban dalam insiden letupan bom tangan ketika latihan di Kem Hobart, Gurun, kelmarin tidak menyangka anaknya itu akan pulang menziarahinya pada malam sebelum hari kejadian.
Fatimah Ismail, 78, berkata, malah anaknya itu hanya pulang seorang diri ke rumahnya di Kampung Tupah, Merbok tanpa menantu dan dua orang cucunya.
“Kira-kira pukul 11.30 malam dia sampai rumah, dia kata baru sampai dari Gurun. Jumaat lepas dia sudah balik bersama isteri dan dua anaknya, mereka bermalam di sini jadi saya hairan bila dia balik lagi tetapi seorang diri.
“Malam itu dia kata, ‘abang hendak balik tengok mak’. Jadi, saya pun tanya dia sudah makan atau belum. Dia kata sudah makan tetapi saya kata ada masak gulai ikan, saya suruh dia makan kalau hendak. Dia cedok sendiri gulai dan makan seorang diri, habis seketul ikan besar dan dia makan nasi banyak.
“Dalam hati saya terdetik ‘lapar sungguh anak aku malam ini’ jadi saya suruh dia makan puas-puas. Esoknya, sebelum ke tempat kerja dia sempat minum secawan kopi. Saya duduk di bangku luar rumah tunggu sampai tidak nampak lagi keretanya, saya tidak pernah buat sebelum ini” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu, Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Busyra, Sungai Petani.
Pengebumian selesai pada pukul 5.25 pagi semalam dengan dihadiri rakan setugas dan ahli keluarga yang memberi penghormatan terakhir.
Pengebumian dijalankan mengikut istiadat ketenteraan sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam pasukan keselamatan negara.
Suasana bertukar hiba sebaik Jalur Gemilang disampaikan Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd. Fouzi Sulaiman kepada balu Allahyarham, Siti Fairus Mohamad Yussof, 38.
Allahyarham Norazmi meninggalkan dua anak iaitu Nurliana Danishah, 14, dan Muhammad Rizhan Darwish, 8.
Kejadian ketika pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia itu turut mengorbankan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Jenazah Siti Khadijah dibawa pulang ke Johor untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak di Kluang.
Sementara, tambah Fatimah, Allahyarham Norazmi memang bercita-cita menjadi anggota tentera sejak muda walaupun pernah mendapat peluang kerja di hospital selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Tetapi dia tolak sebab minat sungguh hendak jadi askar, dia mula dengan wataniah sebab permohonan kali pertama tak berjaya sebelum akhirnya diserap masuk sebagai anggota tetap dan bakal berpencen tahun depan,” katanya.-UTUSAN.










