KUANTAN: Ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) yang diperkenalkan kerajaan bagi mencegah jangkitan HIV didakwa disalahgunakan untuk gaya hidup bebas termasuk seks rambang atau hubungan sejenis.
Bendahari Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Shah Reza Khelikuzaman berkata, walaupun PrEP diperkenalkan kerajaan untuk mengekang HIV, realiti di lapangan menunjukkan cabaran besar apabila ia dikaitkan dengan risiko lain.
“Ramai pengguna didapati tidak mengambil ubat secara konsisten sekali gus mengurangkan keberkesanan perlindungan yang sepatutnya ditawarkan.
“Kekurangan kesedaran, stigma sosial dan akses yang terhad kepada rawatan kesihatan menambah lagi kerumitan dalam usaha memastikan PrEP benar-benar berfungsi sebagai benteng pencegahan HIV.
“Lebih membimbangkan, sebahagian individu mungkin berasa terlalu yakin dengan perlindungan PrEP sehingga mengabaikan langkah pencegahan lain seperti penggunaan kondom,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shah Reza mendakwa, situasi itu bukan sahaja meningkatkan risiko jangkitan HIV malah membuka ruang kepada penularan penyakit kelamin lain yang tidak dapat dicegah oleh PrEP seperti sifilis, gonorea, HPV, hepatitis B dan C.
“Pendekatan menyeluruh yang merangkumi pendidikan, sokongan komuniti dan penguatkuasaan dasar kesihatan awam amat diperlukan bagi memastikan matlamat asal PrEP dapat dicapai sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, PrEP terbukti mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV melalui hubungan seksual sehingga lebih 90 peratus, selain mencegah jangkitan akibat perkongsian jarum suntikan apabila diambil secara konsisten.
Bagaimanapun, katanya, Perdim menolak sebarang usaha menjadikan PrEP sebagai alasan atau ‘lesen’ untuk menggalakkan hubungan sejenis atau seks rambang yang jelas bertentangan dengan nilai agama dan moral masyarakat.
“Setiap penggunaan PrEP mesti disertai kaunseling dan bimbingan agama agar pesakit memahami tanggungjawab serta batasan yang perlu dijaga,” ujarnya.
Katanya, Perdim berpandangan, ubat PrEP hanya wajar diberikan kepada kes berindikasi iaitu suami atau isteri yang menghidap HIV dan mangsa pemerkosaan yang memerlukan perlindungan segera daripada risiko jangkitan.
Perdim turut menyeru masyarakat agar tidak terpengaruh dengan propaganda yang cuba menjustifikasikan gaya hidup bebas atas nama pencegahan HIV.
“Pencegahan HIV perlu dilihat menyeluruh, merangkumi kesedaran moral, gaya hidup sihat serta sokongan komuniti yang berlandaskan nilai agama,” katanya.-UTUSAN.









