KUANTAN: Nasib malang yang menimpa kru kapal MV Berkat Tuah yang terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan mereka, malah memaksa beberapa perancangan penting dalam kehidupan ditangguhkan buat sementara waktu.
Seorang kru kapal berkenaan yang bertugas sebagai oiler, Mohd. Fariduddin Mohd. Jainuddin, 26, berkata, dia terpaksa membatalkan perancangan perkahwinan yang sepatutnya berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.
Katanya, segala persiapan termasuk tempahan dewan yang dibuat sebelum ini terpaksa dibatalkan susulan ketidaktentuan tarikh kepulangannya ke Malaysia.
“Sebelum ini semuanya sudah dirancang termasuk tarikh dan tempahan dewan. Tetapi apabila berlaku perkara seperti ini, semua perancangan terpaksa dibatalkan. Memang sedih kerana keluarga kedua-dua belah pihak sudah membuat persiapan, namun keadaan tidak mengizinkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Seorang lagi kru kapal itu, Lokman Yahaya, 41, pula berkata, dia terpaksa menangguhkan hasrat untuk bertunang dengan wanita pilihannya berikutan ketidaktentuan nasib yang dihadapi mereka pada ketika ini.
Menurutnya, segala perancangan yang dibuat sebelum ini terpaksa diketepikan sehingga masalah yang membelenggu kru kapal tersebut dapat diselesaikan.
“Memang ada perancangan untuk bertunang, tetapi dengan keadaan sekarang saya tidak berani beri kata putus. Calon saya berada di Terengganu dan Alhamdulillah dia memahami situasi yang sedang saya hadapi.
“Namun, saya sendiri tidak tahu sampai bila keadaan ini berlarutan. Kalau mengikut perancangan asal, urusan pertunangan dibuat selepas saya pulang dari sini,” katanya.
Lokman yang berasal dari Kerteh, Terengganu, berharap segala kemelut yang dihadapi kru kapal MV Berkat Tuah dapat diselesaikan dalam masa terdekat supaya mereka dapat pulang ke tanah air dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Harapan saya supaya semua masalah di sini dapat diselesaikan segera, termasuk tunggakan gaji yang belum dibayar. Selepas itu barulah kami boleh merancang semula masa depan,” katanya.
Menurut kru kapal berkenaan, hasil perbincangan antara pihak Kedutaan Malaysia di Dubai dan pihak berkuasa pelabuhan (Harbour Master), hanya lima daripada 10 kru kapal dibenarkan pulang ke Malaysia buat masa ini.
Keputusan itu menyebabkan lima lagi kru terpaksa terus berada di atas kapal bagi memastikan urusan dan keselamatan kapal dapat dipantau sementara menunggu penyelesaian lanjut.
Mereka berharap pihak berkaitan dapat mempercepatkan usaha menyelesaikan isu tunggakan gaji serta urusan repatriasi supaya semua kru yang masih terkandas dapat dibawa pulang ke tanah air secepat mungkin. – UTUSAN








