EcoWorld Malaysia capai 88 peratus jualan - Utusan Malaysia

EcoWorld Malaysia capai 88 peratus jualan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memasuki bulan ketujuh untuk tahun kewangan 2021, Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) berjaya mencapai 88 peratus daripada jualan yang disasarkannya.

Sehinga 31 Mei lalu, syarikat itu mencatat jualan sebanyak RM2.53 bilion, 10 peratus lebih tinggi daripada RM2.30 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Sasaran jualan syarikat itu untuk tahun kewangan 2021 adalah RM2.875 bilion.

“EcoWorld Malaysia merekodkan RM1.32 bilion jualan pada suku kedua 2021, hampir dua kali ganda berbanding jualan RM706 juta yang dicatat pada suku pertama.

“Hasil hadapan daripada projek-projek dalam Malaysia sahaja meningkat daripada RM2.99 bilion pada 28 Februari lalu kepada RM3.77 bilion setakat 31 Mei. Termasuk bahagian EcoWorld daripada hasil hadapan EcoWorld International, keseluruhan hasil hadapan daripada projek di Malaysia dan luar negara adalah sebanyak RM4.21 bilion setakat 31 Mei,” kata syarikat itu dalam kenyataan dekat sini semalam.

EcoWorld Malaysia mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM42.32 juta pada suku kedua 2021, 172.2 peratus lebih tinggi berbanding suku sama tahun lalu.

Kunci kira-kiranya terus meningkat dengan tahap penggearan kasarnya menurun daripada 0.70 kali pada suku pertama tahun ini kepada 0.67 kali pada suku kedua.

“Penggearan bersih juga kekal baik pada 0.55 kali. Berdasarkan kedudukan kewangan yang semakin baik, EcoWorld Malaysia mengumumkan dividen interim sebanyak dua sen setiap saham untuk suku kedua 2021,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×