DALAM sebuah negara demokrasi yang matang, kuasa bukanlah lesen untuk melakukan apa sahaja.
Kuasa adalah amanah. Amanah pula datang bersama tanggungjawab besar untuk membezakan antara hak rakyat dan kepentingan parti politik.
Justeru, apabila fasiliti kerajaan digunakan untuk program atau kepentingan parti politik, rakyat berhak bertanya, adakah ini benar-benar wajar?
Persoalan ini menjadi lebih penting apabila pihak yang suatu ketika dahulu lantang mengkritik amalan tersebut ketika menjadi pembangkang, kini dilihat mengambil pendekatan yang sama apabila berada di tampuk kuasa.
Jika dahulu mereka menyifatkannya sebagai salah guna kuasa, pencabulan etika dan pengkhianatan terhadap wang rakyat, mengapa hari ini ia dianggap biasa dan boleh diterima?
HIPOKRASI KUASA
Masalah terbesar bukan semata-mata penggunaan dewan kerajaan, kenderaan rasmi atau kemudahan awam untuk aktiviti parti. Masalah yang lebih besar ialah apabila berlaku perubahan prinsip. Sesuatu yang dianggap salah ketika dilakukan lawan politik suatu ketika dahulu, tiba-tiba menjadi betul apabila dilakukan kelompok sendiri. Inilah yang disebut oleh sarjana politik sebagai hipokrasi kuasa.
Rakyat tidak memilih sesebuah kerajaan semata-mata kerana manifesto atau slogan tetapi mereka mengharapkan perubahan budaya politik. Jika budaya yang dikritik dahulu diteruskan semula, maka rakyat berhak merasa kecewa.
Rakyat tidak mengundi untuk menukar pelaku tetapi mengharapkan perubahan sistem dan amalan.
Tokoh pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi pernah mengingatkan bahawa kuasa yang diperoleh melalui rakyat mesti digunakan untuk rakyat, bukan untuk kepentingan diri sendiri.
Prinsip ini menegaskan setiap aset awam adalah milik rakyat dan bukannya milik mana-mana parti politik.
GAGAL MELIHAT KESALAHAN SENDIRI
Dalam Islam, prinsip pemisahan antara harta awam dan kepentingan peribadi ditegaskan sejak zaman awal pemerintahan Islam.
Umar ibn al-Khattab terkenal dengan kisah beliau memadamkan pelita yang menggunakan minyak daripada Baitulmal apabila perbincangan bertukar kepada urusan peribadi.
Walaupun kisah tersebut sering dijadikan simbol moral pentadbiran, namun mesejnya sangat jelas iaitu harta awam tidak boleh digunakan untuk kepentingan individu atau kelompok tertentu.
Apabila fasiliti kerajaan digunakan untuk program parti, mesej yang dihantar kepada rakyat amat berbahaya. Ia seolah-olah memberi gambaran kerajaan dan parti adalah entiti yang sama. Sedangkan dalam demokrasi moden, kerajaan ialah institusi negara yang melayani semua rakyat tanpa mengira parti, manakala parti politik ialah organisasi yang bersaing mendapatkan sokongan rakyat.
Ahli falsafah politik British, Lord Acton pernah menyebut kata-kata terkenal, “Kuasa cenderung merosakkan dan kuasa mutlak merosakkan secara mutlak.”
Kata-kata ini bukan hanya amaran terhadap kezaliman tetapi juga peringatan bahawa manusia sering gagal melihat kesalahan sendiri apabila berada dalam kedudukan yang berkuasa.
Apa yang membimbangkan ialah budaya “diam apabila kawan melakukannya.”
Ketika lawan politik melakukan kesalahan, suara bantahan bergema di media sosial, forum dan pentas ceramah. Namun sebaliknya, apabila kesalahan yang sama dilakukan oleh pihak sendiri, ramai memilih untuk berdiam diri. Keadaan ini menjadikan prinsip kalah kepada kepentingan kelompok.
Pejuang hak asasi manusia Amerika Syarikat (AS), Martin Luther King Jr. pernah menegaskan, “Pada akhirnya, kita tidak akan mengingati kata-kata musuh tetapi akan mengingati diamnya sahabat.”
Kata-kata ini sangat relevan dalam konteks semasa. Kerosakan kepada integriti negara sering berlaku bukan kerana tindakan pelaku semata-mata tetapi disebabkan kegagalan orang baik untuk menegur.

TIDAK TAKUT KEPADA KRITIKAN
Kerajaan yang benar-benar reformis tidak takut kepada kritikan. Sebaliknya, kerajaan reformis akan menjadi pihak pertama yang menetapkan garis panduan jelas mengenai penggunaan aset kerajaan. Mereka akan memastikan setiap program parti menggunakan sumber parti, manakala program kerajaan menggunakan sumber kerajaan.
Pemisahan ini penting bagi mengelakkan konflik kepentingan dan menjaga keyakinan rakyat.
Lebih membimbangkan, apabila amalan ini diterima sebagai perkara biasa, generasi muda akan belajar prinsip boleh berubah mengikut kedudukan.
Hari ini mereka melihat orang dewasa bercakap tentang integriti ketika menjadi pembangkang tetapi mengubah pendirian apabila menjadi kerajaan.
Pendidikan politik seperti ini amat bahaya kerana menormalisasikan budaya dua darjat dalam menilai benar dan salah.
Tokoh reformasi Afrika Selatan, Nelson Mandela pernah menegaskan ukuran sebenar kepimpinan bukanlah ketika seseorang memperoleh kuasa tetapi bagaimana beliau menggunakan kuasa tersebut.
Kuasa yang digunakan untuk memperkukuh institusi akan dihormati, manakala kuasa yang digunakan untuk kepentingan kelompok akan akhirnya dipersoalkan rakyat.
MENILAI BERDASARKAN PRINSIP
Dalam konteks Malaysia Madani, isu ini menjadi lebih penting. Nilai kemampanan, kesejahteraan, hormat, ihsan dan keyakinan yang sering diangkat dalam wacana nasional tidak boleh sekadar menjadi slogan.
Nilai tersebut mesti diterjemahkan dalam tindakan. Rakyat akan menilai bukan pada ucapan tetapi pada amalan.
Integriti yang sebenar ialah melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang memerhati.
Jika penggunaan fasiliti kerajaan untuk program parti dianggap salah ketika dilakukan oleh kerajaan terdahulu, maka ia tetap salah apabila dilakukan kerajaan hari ini. Prinsip tidak berubah kerana warna bendera atau logo parti.
Keadilan yang sebenar ialah menilai sesuatu berdasarkan prinsip, bukan berdasarkan siapa yang melakukannya.
KONSISTEN DENGAN PRINSIP
Oleh sebab itu, rakyat tidak seharusnya berdiam diri. Menegur kerajaan bukan bermaksud membenci kerajaan. Mengkritik bukan bermaksud menjadi musuh negara.
Dalam sebuah demokrasi yang sihat, teguran ialah tanda kasih kepada negara dan usaha memastikan kuasa sentiasa berada di landasan yang betul.
Kita tidak memerlukan kerajaan sempurna kerana tiada manusia yang sempurna tetapi memerlukan pentadbiran yang konsisten dengan prinsip yang diperjuangkannya.
Rakyat boleh menerima kelemahan tetapi rakyat sukar menerima kemunafikan politik.
Jika dahulu mereka menentang penyalahgunaan fasiliti kerajaan, maka hari ini mereka mesti menunjukkan teladan yang lebih baik.
Negara tidak akan rosak kerana kritikan yang jujur. Negara akan rosak apabila kesalahan dibiarkan kerana kepentingan politik. Dan sejarah sentiasa mengajar kejatuhan sesebuah pemerintahan bukan bermula dengan kekalahan pilihan raya tetapi apabila pemimpin dan penyokongnya berhenti menegur kesalahan yang berlaku di depan mata.
Maka persoalannya bukan lagi sama ada kita perlu bersuara atau tidak. Persoalan yang lebih besar ialah jika kita memilih untuk diam hari ini, apakah bezanya kita dengan mereka yang pernah dikritik sebelum ini? -UTUSAN
PENULIS ialah Calon Ijazah Kedoktoran (Kepimpinan Wanita), Open University Malaysia (OUM).











