UNHCR punca masalah Rohingya di Malaysia, ASEAN

UNHCR punca masalah Rohingya di Malaysia, ASEAN

Pelarian dari pelbagai negara menunggu bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan UNHCR ketika tinjauan di Bukit Petaling, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Ting­gi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) disifatkan gagal dan tidak efektif dalam menangani masalah ke­banjiran pelarian khususnya et­nik Rohingya di Ma­laysia dan ASEAN.

Badan dunia yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) itu juga tidak telus akan perancangan jangka panjang terhadap pela­rian-pelarian tanpa kerakyatan sekali gus mengundang masalah kepada negara pemberi perlin­dungan sementara.

Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd. Amin berkata, isu membabitkan pelarian Rohingya sudah wujud sejak lebih 40 tahun lalu apabila Myanmar meluluskan Akta Kewarganegaraan 1982 yang menafikan kerakyatan etnik tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, UNHCR sepatutnya memberikan keutamaan kepada pelarian Rohingya untuk memindahkan mereka ke negara ketiga memandangkan jumlahnya amat besar berbanding pelarian dari negara lain.

“Jumlah pelarian Rohingya di Malaysia sahaja dianggarkan melebihi 215,000 orang dengan 126,144 daripadanya berdaftar dengan Malaysia dan UNHCR. Jadi sepatutnya UNHCR memberi keutamaan kepada mereka untuk dipindahkan segera ke negara ketiga.

“Tetapi, apa yang berlaku hari ini, UNHCR tidak telus, gagal dan tidak efektif. Mereka tidak tahu apa hendak dilakukan serta tidak pernah berkongsikan secara terbuka perancangan jangka panjang untuk menyelesaikan isu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berkongsikan pengalamannya mengendalikan isu pela­rian Rohingya sebelum ini, Azril berkata, organisasinya menerima kehadiran ramai pelarian etnik tersebut untuk mendapatkan sokongan bagi membolehkan mereka berhijrah ke negara ketiga.

Bagaimanapun, katanya, terdapat sesetengah kes tempoh menunggu untuk ditemuduga oleh UNHCR memakan masa sehingga lebih dua tahun.

“Mereka sering menyua­rakan soal isu hak asasi, kemanusiaan dan sebagainya, tetapi kenapa tidak memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu pelarian Rohingya yang sangat ramai di negara ini?,” soalnya.

Beliau berkata, UNHCR perlu lebih telus dengan pelan dan mekanisme pelarian Rohingya ini kerana golongan itu dinafikan hak bukan sahaja kerakyatannya di negara asal bahkan hak asasi sebagai manusia.

“Sekiranya alasan untuk memindahkan pelarian ini ke negara ketiga disebabkan mereka ini tiada pendidikan dan sebagainya, jadi apa solusi­nya? Takkan hendak biarkan masalah ini terus berlanjutan tanpa penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, dalam isu membabitkan pelarian Rohingya, Malaysia tidak sepatutnya di­biar bersendirian dan menanggung beban bersendirian, sedangkan ia merupakan masalah yang wujud dari negara asalnya iaitu Myanmar.

Bagaimanapun, katanya, isu pelarian Rohingya di Malaysia tidak boleh dilihat hanya sebagai isu imigresen sebaliknya dilihat sebagai isu kemanusiaan, keselamatan, diplomasi serantau dan tanggungjawab antarabangsa.

“Malaysia telah lama me­nunjukkan sikap berperikemanusiaan terhadap nasib Ro­hingya. Mereka bukan sekadar pendatang biasa. Mereka adalah masyarakat yang dinafikan kewarganegaraan, kehilangan perlindungan negara asal dan terpaksa mencari keselamatan di luar tanah air sendiri.

“Namun, pada masa yang sama, Malaysia juga mem­punyai hak dan tanggungjawab untuk menjaga ke­daulatan, ke­selamatan, ­ketenteraman awam dan keharmonian ma­syarakat tempatan.

“Sikap kemanusiaan tidak bermakna sempadan negara boleh dibuka tanpa kawalan. Begitu juga, menjaga keselamatan negara tidak harus menyebabkan kita kehilangan rasa belas ihsan terhadap manusia yang menderita,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa ASEAN perlu lebih berani menyuarakan isu ini dengan lebih tegas bukannya menjadikan prinsip tidak campur tangan sebagai alasan untuk membisu sehingga krisis dalaman negara ahli memberi kesan kepada rakan serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN