PETALING JAYA: Kestabilan semula aliran perdagangan dan rantaian bekalan minyak serta gas dari Timur Tengah dijangka membantu menstabilkan harga minyak global sekali gus mengurangkan tekanan subsidi yang ditanggung kerajaan.
Pembukaan semula Selat Hormuz susulan pemeteraian memorandum persefahaman antara Amerika Syarikat dan Iran dijangka meredakan ketegangan ekonomi global selepas gangguan rantaian bekalan tenaga sebelum ini sekali gus stabilkan pasaran dunia.
Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk Kapten K. Subramaniam berkata, perdagangan Malaysia yang sebelum ini terganggu dengan rantau Timur Tengah menunjukkan perkembangan positif kepada sektor tenaga negara.
Menurut beliau, kestabilan semula bekalan minyak dan gas dari rantau berkenaan memberi impak langsung kepada harga bahan api di pasaran antarabangsa.
“Namun begitu, impak kepada negara adalah lebih ketara kerana komoditi utama yang banyak bergantung kepada rantau tersebut ialah minyak.
“Apabila aliran minyak dan gas kembali stabil, ia memberi kesan positif kepada harga global. Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan tekanan subsidi yang perlu ditanggung kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, AS dan Iran telah bersetuju dengan satu perjanjian damai dan penamatan operasi ketenteraan secara serta-merta dan kekal di semua medan, termasuk Lubnan, menandakan berakhirnya lebih tiga bulan peperangan di Asia Barat.
Ini termasuk pembukaan semula Selat Hormuz yang akan mencetuskan ke-legaan dunia, selepas beberapa bulan ekonomi global terjejas akibat kekacauan di rantau itu.
AS dan negara pengantara, Pakistan berkata, perjanjian akan ditandatangani Jumaat ini di Switzerland dengan Arab Saudi serta kuasa serantau lain menyambut baik perjanjian itu.
Subramaniam berkata, walaupun kesan kepada operasi Pelabuhan Klang adalah minimum kerana hanya sekitar 3.5 peratus kargo melibatkan rantau Timur Tengah, sektor tenaga negara tetap menerima manfaat besar daripada pemulihan tersebut.
“Perdagangan kita dengan Timur Tengah tidak begitu besar dari segi kendalian pelabuhan, tetapi komoditi minyak dan gas dari rantau itu sangat penting kepada negara,” katanya.
Tambah beliau, pelabuhan utama seperti Pengerang, Sungai Udang dan Kerteh dijangka menerima kesan positif apabila rantaian bekalan tenaga kembali stabil.
“Ini adalah perkembangan yang baik bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga ekonomi global secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN











