NEW YORK: Harga petrol yang tinggi serta gangguan bekalan tenaga tidak akan dapat diselesaikan dalam masa singkat meskipun satu perjanjian untuk menamatkan perang Iran dan membuka semula Selat Hormuz diumumkan semalam.
Menurut pakar tenaga, syarikat-syarikat tenaga berkemungkinan memerlukan masa berbulan-bulan untuk menyambung semula operasi sehingga mampu memenuhi permintaan global.
Mereka berkata, proses penghantaran dan penapisan minyak mentah yang mengambil masa, selain kebimbangan terhadap keselamatan pelayaran melalui selat itu, bermakna kesan perjanjian tersebut tidak akan dirasai serta-merta.
Kapal-kapal yang membawa minyak mentah terkandas di Teluk Parsi selama lebih tiga bulan kerana tidak dapat melalui laluan perairan itu dengan selamat. Sebelum perang tercetus, kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz.
“Ia akan mengambil masa sebelum pihak berkaitan berasa yakin dan perlindungan insurans dapat disediakan, terutama untuk membawa kakitangan kembali ke lapangan bagi menghidupkan semula sebahagian aset tenaga,” kata Ketua Global Penyelidikan Bahan Api dan Penapisan S&P Global Energy, Daniel Evans.
Walaupun begitu, harga minyak menurun pada awal dagangan Isnin selepas pengumuman perjanjian berkenaan.
Penanda aras antarabangsa Brent susut AS$3.45 (RM13.97) kepada AS$83.89 (RM339.81) setong, manakala minyak mentah penanda aras Amerika Syarikat (AS) jatuh AS$4.03 (RM16.32) kepada AS$80.85 (RM327.45) setong.
Namun, harga tersebut masih jauh lebih tinggi berbanding sekitar AS$70 (RM283.50) setong sebelum perang bermula.
Evans berkata, apabila harga mula stabil semula, kapal-kapal yang terkandas perlu keluar dari selat tersebut terlebih dahulu sebelum kapal tangki baharu dapat memasuki kawasan berkenaan untuk memuatkan minyak.
“Untuk membawa masuk sesebuah kapal, anda perlu yakin terdapat tempoh keselamatan yang mencukupi untuk kapal itu masuk, memuatkan minyak dan keluar semula,” katanya.
Beliau menjelaskan kapal tangki minyak juga bergerak pada kadar yang perlahan. Perjalanan dari Selat Hormuz ke negara-negara yang jauh boleh mengambil masa berbulan-bulan, termasuk proses penghantaran minyak mentah ke loji penapisan sebelum produk akhir sampai ke destinasi.
Selain itu, beberapa pengeluar minyak di Asia Barat turut menghentikan sementara pengeluaran apabila kemudahan simpanan mereka penuh. Menghidupkan semula operasi tersebut juga memerlukan masa – AGENSI











