Wujud unsur khianat, usaha jatuhkan kerajaan N. Sembilan

Wujud unsur khianat, usaha jatuhkan kerajaan N. Sembilan

ANWAR Ibrahim ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koprojaya Ke-10 di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wujud sedikit unsur ‘khianat’ dalam kerjasama politik di Negeri Sembilan yang kemudian memaksa kerajaan negeri me­ngadakan pilihan raya negeri (PRN) lebih awal.

Perdana Menteri berkata, tindakan khianat itu secara khusus merujuk kepada tindakan yang boleh menjejaskan kerjasama dan kestabilan politik yang telah dipersetujui di negeri itu.

“Saya bagi kenyataan bahawa dalam menjayakan kerjasama dalam negara ini, jangan ada unsur-unsur pengkhianatan. Kalau tak khianat, baguslah.

“Tetapi kalau kita tengok pengalaman kita di Negeri Sembilan tentunya ada usaha dalam keadaan stabil politik­nya, ekonominya, tapi ada usa­ha-usaha untuk menjatuhkan. Jadi, itu bagi saya ada sedikit pengkhianatan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Bhd. (Koprojaya) Ke-10 di sini semalam.

Anwar mengulas isu ber­kenaan susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menepis dakwaan kononnya UMNO sebagai pengkhianat di sebalik pembubaran kerajaan di Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Anwar ber­kata, soal sama ada sesebuah negeri mahu mengadakan pilihan raya lebih awal adalah hak kerajaan negeri berkenaan untuk menentukannya.

“Dalam soal Johor pula, itu terserahlah dia hendak adakan pilihan raya lebih awal, tapi saya kata tumpuan kita menjana pertumbuhan ekonomi negara, masalah rakyat.

“Kalau dalam tiga empat bulan ini kita sibuk soal pilihan raya, padahal kalau kita dapat dalam dua tiga bulan dalam keadaan krisis ekonomi, tumpu kepada perkara itu, itu yang saya maksudkan.

“Kalau tidak, tak ada khia­nat, tak apalah. Tapi maknanya kita harus tingkatkan kefahaman mengapa kerjasama dan muafakat itu penting dan bila ada keperluan pilihan raya pada masanya, jalanlah,” katanya.

Katanya, sekiranya tiada tindakan yang boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap semangat kerjasama dan muafakat politik maka perkara itu tidak menjadi isu.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata, tidak harus timbul isu pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran di peringkat negeri mahupun nasional berakhir dan tamat.

Kenyataan itu bagi menafikan dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang melabel UMNO sebagai ‘pengkhianat’ susulan pengumuman PRN di Negeri Sembilan.

Sebelum itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mendakwa pengkhianatan terhadap kerajaan negeri oleh UMNO membawa kepada pembubaran DUN negeri itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×