Pendapatan Bermaz Auto dijangka naik sehingga 21.7%

Pendapatan Bermaz Auto dijangka naik sehingga 21.7%

CIMB Securities menjangkakan pendapatan BAuto akan bertambah kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2027, didorong oleh pelancaran yang dirancang bagi CX-5 generasi ketiga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Securities Sdn. Bhd. (CIMB Securities) menaikkan unjuran pendapatan sesaham Bermaz Auto Bhd (BAuto) bagi tahun kewangan 2027 hingga 2028  sebanyak 8.5 peratus hingga 21.7 peratus.

Firma berkata, peningkatan tersebut mencerminkan pemulihan berterusan sumbangan daripada syarikat bersekutu yang sebahagiannya disokong oleh pergerakan kadar pertukaran asing yang menggalakkan serta pengurusan kos yang lebih baik.

“Kami juga menjangkakan pendapatan akan bertambah kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2027, didorong oleh pelancaran yang dirancang bagi CX-5 generasi ketiga yang masih mengikut jadual untuk diperkenalkan pada suku ketiga tahun tersebut.

“Selain itu, BAuto berkemungkinan mendapat manfaat daripada pengukuhan nilai ringgit selepas berjaya memperoleh bekalan unit import siap sepenuhnya (CBU) dari Jepun pada harga yang menguntungkan.

“Tunggakan tempahan BAuto berjumlah 2,350 unit setakat akhir Mei 2026. Walaupun begitu, kami menjangkakan tempahan baharu akan meningkat mulai Jun 2026, disokong oleh pembukaan tempahan bagi CX-5 baharu,” katanya dalam satu nota penyelidiakan. 

CIMB Securities berkata, kumpulan itu terus menikmati permintaan yang kukuh untuk Mazda 3 (1.5L) baharu, yang menyumbang kira-kira 55 peratus daripada keseluruhan tunggakan tempahannya.

“Secara keseluruhan, kami mengunjurkan jumlah jualan BAuto meningkat antara 7.3 peratus hingga 7.6 peratus bagi tahun kewangan 2027 hingga 2028, disokong oleh pelancaran model baharu daripada Mazda dan XPeng serta pemulihan prestasi syarikat bersekutunya,” katanya. 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata, BAuto dijangka mendapat manfaat dalam jangka masa terdekat daripada dasar baharu kerajaan yang mewajibkan kenderaan elektrik import siap sepenuhnya (CBU) mempunyai nilai minimum kos, insurans dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000.

“Persekitaran operasi di Malaysia dijangka kekal sangat kompetitif, didorong oleh pelancaran agresif model-model baharu oleh pengeluar kenderaan China (OEM) yang menawarkan harga menarik, di samping sentimen pengguna yang lebih lemah dan risiko kenaikan kos bahan api.

“Namun begitu, pelancaran model CX-5 generasi baharu yang bakal tiba dijangka membantu menyokong jumlah jualan,” katanya.

HLIB berkata, operasi perniagaan di Filipina terus berdepan cabaran yang sama, termasuk persaingan sengit daripada OEM China, bekalan bahan api yang terhad, harga bahan api yang tinggi serta sentimen pengguna yang lemah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN