Ilmu pembuatan capati yang diperturunkan bapanya tidak disia-siakan oleh Mohamad Abdussalam Idris, 38, yang meneruskan legasi keluarga menerusi perniagaan makanan.
Teknik memasak capati dan rusuk kambing ala Afghanistan dipelajarinya sejak usia muda dengan penuh kesungguhan tanpa mengenal erti putus asa sehingga berjaya membuka restoran Ya Salam di Setia Alam.
Menurut Mohamad Abdussalam, resipi turun-temurun yang diwarisi daripada keluarganya itu semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan bukan sahaja dari kawasan sekitar, malah pelbagai lokasi lain.
“Kami menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi dan mengadunkan setiap ramuan dengan penuh teliti bagi menghasilkan capati yang kekal lembut walaupun selepas beberapa hari.
“Selain itu, kami turut menggunakan campuran rempah khas yang memberikan rasa lebih autentik serta mampu memikat selera pelanggan,” katanya baru-baru ini.
Dengan slogan ‘lembut walaupun tiga hari’, restoran Ya Salam menawarkan pelbagai hidangan istimewa termasuk nasi Arab ayam, nasi Arab kambing, capati kari kambing, capati kari ayam, capati keema daging, kuzi kambing, capati sardin dan sup kambing.
Bagi yang inginkan kelainan, jangan lepaskan peluang mencuba menu baharu seperti capati kari tengkuk kambing dan kuzi kambing.
Mohamad Abdussalam berkata, konsepkan santai dan mesra keluarga yang diketengahkan memberikan keselesaan kepada pelanggan yang ingin menikmati hidangan bersama insan tersayang.
Restoran Ya Salam beroperasi setiap hari bermula pukul 3 petang hingga lewat malam.











