MOSCOW: Apple mengeluarkan aplikasi pemesejan Max milik Russia daripada App Store, menurut pembangun aplikasi tersebut pada Khamis.
Moscow sejak beberapa bulan lalu menggalakkan rakyat Russia menggunakan Max, sebuah aplikasi super yang tidak mempunyai penyulitan dan dikritik oleh pihak tertentu kerana berpotensi digunakan untuk menjejaki pengguna.
Pihak berkuasa Russia turut mengehadkan akses kepada WhatsApp dan Telegram, dua aplikasi pemesejan terbesar di negara itu, serta mewajibkan kakitangan awam, syarikat milik kerajaan, sekolah dan agensi kerajaan beralih menggunakan Max untuk komunikasi rasmi.
“Max tidak tersedia sementara untuk dimuat turun di App Store,” kata aplikasi itu dalam satu kenyataan di platformnya pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, aplikasi tersebut telah hilang dari App Store sejak malam Rabu.
Apple belum memberikan sebarang komen, dan sebab pengeluaran aplikasi itu masih belum jelas.
Apple dan Google sebelum ini mengeluarkan puluhan aplikasi Russia daripada gedung aplikasi mereka, termasuk aplikasi yang dibangunkan oleh syarikat yang dikenakan sekatan oleh negara Barat.
Aplikasi yang sudah dipasang pada peranti di Russia masih boleh digunakan, namun pengguna baharu tidak lagi boleh memuat turunnya dan kemas kini juga tidak disediakan.
Tindakan pengeluaran aplikasi secara besar-besaran ini mencetuskan “permainan persaingan berterusan apabila syarikat Russia, khususnya bank melancarkan aplikasi yang disamarkan sebagai perisian lain seperti perakaunan, sebelum memaklumkan pelanggan untuk memuat turun versi baharu sebelum ia diharamkan.
Dilancarkan pada 2025 oleh gergasi media sosial Russia VK, Max sering dibandingkan dengan aplikasi China WeChat kerana menggabungkan fungsi media sosial dan pemesejan dengan akses kepada perkhidmatan kerajaan, kad pengenalan digital, perbankan dan pembayaran.
Presiden, Vladimir Putin sebelum ini menyifatkan aplikasi itu sebagai platform yang lebih selamat dan memenuhi keperluan Russia terhadap ‘kedaulatan teknologi’.
Aplikasi itu telah dipasang secara pramuat pada telefon dan tablet yang dijual di Russia sejak September, namun tidak tersedia di Kesatuan Eropah (EU).
Max tidak menggunakan penyulitan hujung ke hujung dan terma penggunaannya menyatakan bahawa data pengguna disimpan secara eksklusif padapelayan di Russia.-AFP










