NEW DELHI: Pihak berkuasa India memecat pegawai tertinggi pendidikan daripada lembaga peperiksaan selepas kegagalan dalam proses pemarkahan ujian yang melibatkan dua juta pelajar sekolah menengah yang mencetuskan kemarahan dan seruan protes.
Kontroversi itu, selepas lembaga berkenaan mengakui wujud kelemahan keselamatan siber dalam sistem pemarkahan digital, merupakan insiden terbaharu yang menggegarkan sistem peperiksaan India serta mencetuskan kritikan terhadap Lembaga Pusat Pendidikan Menengah (CBSE).
Pengerusi lembaga tersebut, Rahul Singh dan setiausahanya, Himanshu Gupta, dipindahkan ke jabatan kerajaan lain, menurut satu perintah yang dikeluarkan lewat Selasa.
Kemarahan terhadap CBSE meletus pada Mei apabila penyelidik keselamatan siber berusia 19 tahun, Nisarga Adhikary, mendakwa kelemahan dalam sistem pemarkahan baharu boleh menjejaskan penilaian markah pelajar.
Sekitar 1.8 juta pelajar menduduki peperiksaan CBSE gred 12 pada 2026, iaitu peperiksaan terakhir sebelum mereka menamatkan persekolahan.
CBSE berkata, sistem pemarkahan dalam talian yang diperkenalkan pada 2026 itu bertujuan meningkatkan ‘ketepatan dan kecekapan’ dalam keputusan peperiksaan.
Bagaimanapun, ramai pelajar mendakwa sistem tersebut telah memberikan gred yang salah atau mengeluarkan keputusan kepada pelajar yang tidak tepat.
CBSE berkata, ia ‘mengawal’ kelemahan yang dikenal pasti dan melancarkan portal semakan semula bagi pelajar yang mengadu tentang keputusan yang tidak betul.
Namun, kemarahan semakin meningkat.
Golongan muda India kini mendesak peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan, manakala kumpulan satira dalam talian dikenali sebagai ‘Parti Rakyat Lipas’ menyeru protes aman pada 6 Jun di New Delhi.
Abhijeet Dipke, 30 tahun, yang mengetuai gerakan dalam talian itu, berkata beliau akan kembali ke India untuk memimpin demonstrasi tersebut.
Kontroversi itu berlaku susulan satu lagi skandal peperiksaan pada Mei, apabila pihak berkuasa membatalkan peperiksaan kemasukan kolej perubatan di seluruh negara selepas penyiasat menemui kebocoran kertas soalan.
Media India melaporkan kes bunuh diri dalam kalangan remaja susulan kegagalan dan kekecohan berkaitan Ujian Kelayakan Masuk Kebangsaan (NEET), iaitu antara peperiksaan paling kompetitif di negara itu yang disertai jutaan calon.
Peperiksaan tersebut telah dijadualkan semula untuk diadakan pada akhir Jun.- AFP










