UMNO akan bertindak jika langgar 3R

UMNO akan bertindak jika langgar 3R

MOHAMAD NADZIM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMNO kini berdepan cabaran politik yang kian kompleks di Selangor ketika landskap sokongan pengundi dijangka berubah susulan isu melibatkan 3R (raja, agama dan kaum) yang semakin sensitif dalam perhatian rakyat.

Dalam keadaan ini, Ketua UMNO Bahagian Ampang, MOHAMAD NADZIM IBRAHIM menegaskan kerjasama politik bukan alasan untuk berkompromi terhadap perkara yang menyentuh 3R dan Perlembagaan negara.

Bagi UMNO, garis merah tetap wujud dan tidak boleh dilanggar mana-mana pihak, termasuk rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau memberitahu kepimpinan UMNO memilih pendekatan lebih berhati-hati selain berpijak pada realiti semasa di sebalik pelbagai polemik politik yang berlaku.


UTUSAN : Apakah masalah utama membelenggu di Selangor, khususnya dalam UMNO?

MOHAMAD NADZIM: Saya melihat UMNO ketika ini berada dalam keadaan paling stabil dan aman. Daripada pucuk pimpinan, khususnya dalam hubungan di peringkat negeri, tumpuan diberikan untuk memperkukuh parti. Ini merupakan arahan yang jelas dan perlu dipatuhi oleh semua peringkat kepimpinan.

Parti masih mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dari sudut pentadbiran kerajaan negeri. Namun dari sudut dalaman parti, penekanan utama adalah untuk memperkukuh kekuatan UMNO terlebih dahulu sebelum membincangkan kerjasama politik yang lebih luas.

Pada pandangan saya, tidak wujud sebarang masalah besar setakat ini. Keadaan masih terkawal dan berjalan seperti dirancang, dengan fokus utama diberikan kepada pengukuhan organisasi serta perpaduan dalaman parti.

 

Bagaimana di Ampang? Boleh bekerjasama baik dengan PH?

Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Altimet (Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad. Kami turut menjalinkan kerjasama dalam beberapa program. Begitu juga dengan ADUN Bukit Antarabangsa, Mohd. Kamri Kamaruddin.

Dalam masa sama, mereka juga sering mendapatkan pandangan daripada kami kerana pengalaman UMNO yang pernah mentadbir sebelum ini.

Dari sudut pentadbiran, kerjasama yang terjalin berjalan dengan baik dan tidak menimbulkan sebarang masalah. Setakat ini, hubungan kerja yang wujud dilihat stabil dan konstruktif.

Apa yang kami harapkan, contohnya dalam pelaksanaan program seperti ‘kembali ke sekolah’ dan inisiatif seumpamanya, ada ruang kerjasama yang lebih tersusun, termasuk pengkhususan tertentu untuk UMNO. Ini penting bagi memastikan setiap program dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat.

 

Apabila timbul isu ingkar titah sultan dan tidak menghormati institusi diraja, UMNO pasti sedikit sebanyak terkesan kerana berada dalam Kerajaan Perpaduan. Bagaimana UMNO boleh menangani isu-isu sedemikian supaya tidak menjejaskan imej parti dan mengelakkan undi beralih kepada pihak lawan dalam pilihan raya?

Kerjasama antara UMNO dan PH jelas. Namun, perlu difahami setiap pihak tidak boleh melampaui batas yang ditetapkan. Isu-isu berkaitan 3R mesti sentiasa dipelihara dan dihormati.

Apabila berlaku tindakan yang dianggap biadab terhadap institusi diraja, UMNO mengambil tindakan membuat laporan polis dan turut menggerakkan demonstrasi sebagai tanda pendirian. Perkara ini juga diketahui wakil rakyat terlibat dan mereka memahami pendirian UMNO dalam isu tersebut.

Pada masa sama, tidak timbul sebarang larangan daripada pihak mereka terhadap tindakan UMNO dalam mempertahankan perkara tersebut. Kerjasama memang wujud, namun perlu bersifat seimbang dan berprinsip.

Ini kerana tidak wajar satu pihak sahaja menentukan segala keputusan, kita juga ada hak dan peranan.

 

Tapi suara parti kurang kuat dalam isu ini sehingga ada menganggap UMNO seperti menyokong pihak yang ingkar titah sultan. Komen.

Pendirian UMNO jelas. Jika langgar perkara 3R, kita akan bertindak. Kami tidak akan kompromi.

Begitu juga kerjasama antara UMNO dengan PH memang jelas. Sama ada kita senyap atau tidak, bukan isu sebenarnya.

Jika langgar garis merah, kita bisinglah. Jika tidak langgar, kami okey sahaja selagi pentadbiran negeri menjaga masyarakat, termasuk ahli dan parti UMNO.

Dalam hal ini, hanya beberapa individu yang bersuara dan itu bukan pendirian parti, bukan pendirian PH.

Jika parti yang melanggar garis merah, maka keadaan akan jadi lain ketika ini. Ini bermula dengan Ronnie Liu, dia bukan siapa-siapa dalam pentadbiran kerajaan.

 

Bila DAP menyifatkan UMNO sebagai pengkhianat, tidakkah UMNO sedikit berkecil hati?

Kita selesaikan masalah apabila sampai masanya. Setakat ini, pendirian UMNO jelas berdasarkan arahan pimpinan tertinggi bahawa kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat kerajaan negeri masih diteruskan.

Namun di peringkat parti, tidak dapat dinafikan wujud sedikit perbezaan pandangan dalam kalangan ahli akar umbi. Ada juga isu-isu tertentu yang menyebabkan sebahagian pihak melabelkan UMNO dengan pelbagai tuduhan. Dalam hal ini, ahli perlu menilai sesuatu perkara secara lebih rasional dan tidak melihat semua isu dalam satu sudut sahaja.

Setiap isu perlu difahami berdasarkan konteks dan keadaan sebenar ketika ia berlaku. Istilah seperti ‘pengkhianat’ tidak wajar digunakan secara sewenang-wenangnya tanpa memahami latar belakang sesuatu keputusan atau tindakan yang dibuat pada ketika itu.

Sebagai contoh, terdapat beberapa isu di Johor dan Negeri Sembilan yang telah dijelaskan kepada akar umbi. Menteri Besar Negeri Sembilan gagal menjalankan tanggungjawab. Dari sudut pandang UMNO, pendekatan yang diambil kepimpinan negeri adalah dalam kerangka pentadbiran yang betul, namun mungkin berlaku kelemahan dari segi penyampaian maklumat kepada peringkat bawahan.

Setiap negeri juga mempunyai konteks pentadbiran dan institusi yang berbeza, termasuk institusi diraja yang tidak sama antara satu negeri dengan negeri yang lain. Jadi, tidak adil untuk menyamakan satu situasi dengan situasi yang lain tanpa memahami latar belakangnya secara menyeluruh.

Bagi UMNO, dakwaan atau label tertentu yang dilemparkan kepada parti lebih dilihat sebagai usaha mengeruhkan keadaan atau mengalihkan perhatian daripada isu sebenar. Namun begitu, kepimpinan tertinggi parti terus komited memperkukuh penjelasan dan penerangan kepada ahli di semua peringkat.

Dalam mana-mana organisasi, perbezaan pandangan adalah perkara biasa. Ada ketua bahagian dan ketua cawangan yang mempunyai pendirian berbeza, namun perkara ini ditangani secara dalaman melalui saluran parti.

Yang paling penting ialah kekuatan institusi parti itu sendiri. Jika ahli tidak menyokong kepimpinan parti, maka ia akan melemahkan organisasi dari dalam. Kerana itu, walaupun wujud perbezaan pandangan, ia perlu diurus secara berhemah demi memastikan UMNO terus kukuh, bersatu dan mampu menghadapi cabaran politik semasa.

Komen kenyataan Tony Pua yang meminta PH nilai semula kerjasama dengan UMNO?

Pertama, Tony bukan siapa-siapa. Dia memang kontroversi daripada dulu. Dia juga pernah dibuang parti.

Keduanya, saya mahu beritahu Tony, tanpa raja, nenek moyang (keturunan) dia pun tiada di Malaysia.

Pada pandangan saya, sebarang kenyataan perlu dibuat dengan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab. Isu yang menyentuh institusi raja-raja Melayu tidak wajar diperkecilkan atau dipermainkan kerana melibatkan sensitiviti masyarakat yang sangat tinggi.

Kenyataan yang bersifat provokatif atau dibuat semata-mata untuk meraih perhatian umum boleh menimbulkan salah faham serta mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat. Sebab itu, setiap individu perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang hanya bersifat popular atau radikal tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang.

 

Adakah ini bermakna UMNO juga perlu menilai semula kerjasama dengan PH yang turut disertai DAP?

Kita perlu membezakan antara pendirian individu dengan parti. Tidak semua kenyataan yang dibuat individu tertentu boleh dianggap sebagai pendirian rasmi parti. Setakat ini, tiada sebarang ketetapan atau resolusi rasmi yang mengesahkan perkara tersebut di peringkat parti, dan saya juga tidak pasti jika ia akan dibawa pada masa akan datang.

Apa yang jelas, kenyataan yang datang daripada individu-individu tertentu itu tidak membawa kesan besar dalam parti kerana tidak mewakili keputusan rasmi. Namun, kita akui ada dalam kalangan mereka yang bersikap lebih radikal dalam menyuarakan pandangan. Pandangan saya, selagi ia bukan pendirian rasmi parti, kita tidak perlu menganggapnya sebagai dasar keseluruhan.

 

Dengan konflik di Selangor, ada yang melihat PH di negeri itu semakin tergugat, adakah ini peluang baik untuk UMNO/Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir?

BN telah lama berdepan cabaran untuk kembali memperoleh sokongan majoriti. Kita perlu menilai dengan teliti strategi yang sesuai, sama ada melalui kerjasama dengan parti lain atau bergerak solo, bergantung kepada kekuatan di kawasan tertentu.

Kita juga perlu melihat realiti politik di lapangan. Di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi bukan Melayu, keputusan pilihan raya sering menunjukkan kecenderungan tertentu. Sebaliknya, di kawasan majoriti pengundi Melayu, BN masih mempunyai potensi yang kuat untuk menang. Inilah realiti yang sedang berlaku dan perlu diambil kira dalam perancangan strategi politik.

Pada peringkat awal, kerjasama yang dibentuk sebelum ini boleh dilihat sebagai usaha untuk memastikan kelangsungan dan kestabilan UMNO dalam landskap politik semasa. Ia juga memberi ruang kepada parti untuk terus bergerak dalam sistem yang ada sambil mencari kekuatan baharu.

Secara jujur, UMNO tidak mempunyai budaya politik bersifat ekstrem atau suka mencetuskan kontroversi. Pendekatan parti lebih berasaskan fakta, pengalaman pentadbiran serta pertimbangan yang rasional. Namun begitu, kita juga tidak boleh menafikan dalam politik, persepsi dan emosi kadangkala lebih cepat mempengaruhi sokongan rakyat berbanding fakta.

Dari dulu, UMNO/BN tiada DNA pembangkang. Terus terang cakaplah, kita tidak pandai maki-maki. Apa yang kita cakap, semuanya berdasarkan fakta tapi mungkin fitrah manusia suka dengar benda tipu, suka dengar benda kontroversi.

Kita perlu kembali kepada asas perjuangan. BN dan UMNO pernah menjadi tunjang pentadbiran negara dan pastinya bersebab adanya kekuatan itu suatu ketika dahulu. Mungkin kini adalah masa untuk muhasabah, membetulkan kelemahan, mengetepikan ego dan membina semula kekuatan parti agar kembali mendapat kepercayaan rakyat.

 

Bagaimana di Ampang?

Kita perlu menerima realiti komposisi pengundi Melayu dan bukan Melayu semakin seimbang, khususnya di kawasan seperti Bukit Antarabangsa yang menghampiri nisbah 50-50. Dalam situasi ini, sokongan pengundi bukan Melayu memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya.

Pada masa sama, kita juga perlu mengakui pengaruh MCA masih belum cukup kuat untuk menarik semula sokongan pengundi Cina kepada BN. Sebahagian besar pengundi Cina sama ada memilih untuk tidak keluar mengundi atau terus memberikan sokongan kepada DAP.

Atas sebab itu, bagi kawasan yang mempunyai komposisi pengundi seimbang, kerjasama dengan PH ketika ini dilihat lebih membantu dari sudut strategi politik dan peluang kemenangan.

Namun begitu, sekiranya pada masa hadapan kepimpinan parti memutuskan untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), maka pendekatan dan strategi politik perlu dinilai semula mengikut kesesuaian kawasan. Sebagai contoh, di kawasan seperti Lembah Jaya yang majoriti pengundinya terdiri daripada orang Melayu, BN masih dilihat mempunyai peluang yang baik untuk bersaing.

Apa yang penting, parti perlu berpijak pada realiti semasa dan tidak terlalu dipengaruhi emosi dalam membuat keputusan. Pendekatan bergerak secara solo semata-mata atas alasan ‘kalah bermaruah’ juga perlu dilihat secara lebih praktikal. Dalam politik, kemenangan tetap menjadi matlamat utama kerana tanpa kemenangan, sukar untuk melaksanakan agenda perjuangan dan membantu rakyat.

Pada masa sama, sokongan pengundi Cina terhadap DAP juga mungkin tidak lagi sekuat dahulu. Namun, cabaran utamanya ialah mereka masih belum melihat alternatif yang benar-benar mampu menggantikan DAP. Selagi tiada parti lain yang berjaya meyakinkan pengundi Cina pada tahap yang sama, kecenderungan mereka untuk terus menyokong DAP akan kekal.

UMNO dan BN juga perlu menerima hakikat keyakinan pengundi Cina terhadap gabungan itu masih belum pulih sepenuhnya. Namun, kita tidak boleh melupakan hakikat suatu ketika dahulu BN pernah mendapat sokongan besar daripada semua kaum, termasuk pengundi Cina.

Sebab itu, perkara utama yang perlu difikirkan bukan sekadar mengapa BN kalah tetapi bagaimana untuk membina semula keyakinan rakyat dan mengembalikan sokongan yang pernah dimiliki suatu ketika dahulu.

 

Presiden Pas menyatakan akan menilai semula kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), adakah ini peluang terbaik untuk UMNO menjalinkan semula kerjasama supaya undi Melayu tidak berpecah?

Secara peribadi, saya tidak percaya sangat dengan Pas. Dalam politik, apa sahaja boleh berlaku. Namun, jika presiden parti memutuskan UMNO perlu bekerjasama dengan Pas, maka saya akan akur dan menghormati keputusan tersebut.

Bagi saya, kesetiaan kepada parti itu penting. Saya ini orang parti, pastinya akan akur dengan kata presiden. Jika kita sendiri tidak yakin dengan parti yang kita anggotai, lebih baik tidak berada dalam parti itu sejak awal lagi.

Mengapa saya masih sukar untuk benar-benar yakin kepada Pas? Pertama, pengalaman lalu dalam Muafakat Nasional (MN) menyebabkan ramai berasa kecewa dan merasakan kepercayaan yang diberi tidak dihargai sebaiknya.

Kedua, beberapa kenyataan pemimpin Pas sejak kebelakangan ini semakin merepek. Saya mungkin bukan orang yang mempunyai latar pendidikan agama yang tinggi tetapi merasakan ada kenyataan tertentu yang kurang tepat dan menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat.

Namun begitu, hubungan dengan Pas di Ampang masih baik. Kami sudah lama kenal dan sering bertemu dalam program kemasyarakatan serta aktiviti keagamaan di surau atau majlis pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Jadi, untuk mengatakan langsung tiada hubungan atau komunikasi dengan Pas, itu tidak benar.

Cuma, kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas di Ampang ketika ini memang tidak berlaku. Hubungan yang ada lebih bersifat persahabatan dan interaksi biasa dalam masyarakat.

Perkara sama juga berlaku dengan pemimpin PH. Mereka juga datang ke pejabat kami untuk berbincang dan menghadiri mesyuarat. Pada saya, selagi sesuatu kerjasama itu memberi manfaat kepada rakyat dan kawasan Ampang, saya tiada masalah untuk bekerjasama secara profesional. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini