PETALING JAYA: Penyelarasan pewartaan fatwa berkaitan ajaran Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) atau Qadiani di seluruh negara perlu dilakukan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan terhadap fahaman itu dapat dilaksana secara lebih berkesan dan seragam.
Ia perlu dilakukan bagi keputusan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) dengan memfatwakan bahawa ajaran Qadiani adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam serta boleh membawa kepada kekufuran.
Bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, meskipun kebanyakan negeri putuskan ajaran Qadiani adalah sesat dan bercanggah akidah Islam, ada perbezaan daripada segi sighah atau bentuk pewartaan fatwa yang boleh memberi implikasi terhadap aspek penguatkuasaan undang-undang syariah.
Katanya, ada negeri yang memfatwakan ajaran itu sebagai sesat dan terkeluar daripada Islam manakala beberapa negeri lain mengambil pendekatan menyatakan ia sebagai ajaran sesat, menyeleweng dan boleh membawa kepada kekufuran.
“Pendirian pihak berkuasa agama Islam di Malaysia terhadap ajaran Qadiani telah lama jelas dan konsisten.
“Bagaimanapun, dalam pelaksanaan penguatkuasaan, timbul beberapa cabaran perundangan apabila sesuatu kumpulan difatwakan sebagai terkeluar daripada Islam.
“Dalam keadaan tertentu, tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah menjadi lebih sukar kerana kebanyakan peruntukan kesalahan syariah tertakluk kepada orang Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada masa sama, katanya, pengikut Qadiani masih mendakwa mereka sebahagian daripada umat Islam serta menggunakan identiti dan simbol Islam dalam aktiviti mereka.
Beliau berkata, keputusan Muzakarah MKI yang bersidang 17 hingga 20 Jun tahun lalu boleh dijadikan rujukan penting ke arah mewujudkan keseragaman dalam kalangan negeri-negeri bagi menangani isu berkenaan.
Katanya, langkah penyelarasan itu bukan bagi mengubah hukum Qadiani sebagai fahaman sesat tetapi memperkukuh aspek pelaksanaan dan penguatkuasaan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Qur’an dan Sunnah Abdul Hamid A Abu Sulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, pendirian ulama Islam mengenai kesesatan ajaran itu tidak lagi menjadi persoalan.
Ini kerana majoriti ulama sejak lebih satu abad lalu telah sepakat bahawa kepercayaan terhadap Mirza Ghulam Ahmad sebagai nabi selepas Rasulullah SAW bercanggah dengan prinsip asas Islam berhubung penutup kenabian (Khatam al-Nabiyyin).
Katanya, persoalan utama ketika ini bukan sama ada fatwa perlu diubah atau disemak semula daripada sudut akidah, sebaliknya bagaimana implikasi undang-undang fatwa tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih jelas dan berkesan.
“Dalam banyak keadaan, enakmen jenayah syariah hanya terpakai kepada orang Islam. Apabila sesuatu fatwa mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi Muslim dari sudut hukum agama, maka timbul cabaran dari segi bidang kuasa penguatkuasaan.
Beliau berkata, jika terdapat kelompongan undang-undang yang menyebabkan aktiviti penyebaran ajaran tersebut sukar dikawal, kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama boleh meneliti semula mekanisme perundangan yang sesuai tanpa mengubah pendirian akidah yang telah diputuskan ulama.
Menurutnya, penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi untuk membendung penyebaran fahaman menyimpang.
“Pendekatan pendidikan dan pencerahan masyarakat perlu diperkasakan supaya umat Islam memahami asas akidah berkaitan konsep kenabian, wahyu dan autoriti agama.
“Pendekatan dialog dan dakwah secara berhikmah juga perlu diberi ruang kerana sebahagian pengikut Ahmadiyyah dilahirkan dalam keluarga yang telah lama menganut fahaman tersebut.
“Tindakan penguatkuasaan perlu memfokuskan kepada usaha penyebaran fahaman berkenaan termasuk aktiviti dakwah, perekrutan ahli serta penerbitan bahan yang menyasarkan umat Islam,” katanya. –UTUSAN











