KUANTAN: Taman Eko-Rimba Sungai Pandan di Panching di sini menjadi tumpuan orang ramai sempena cuti sekolah apabila ratusan pengunjung hadir beriadah bersama keluarga dan menikmati keindahan alam semula jadi.
Bermula pukul 9 pagi, kawasan rekreasi tersebut ibarat pesta apabila mula dipenuhi pengunjung yang membawa tikar, bekalan makanan dan kelengkapan berkelah termasuk khemah.
Suasana riuh rendah kanak-kanak mandi-manda menambahkan lagi kemeriahan dengan gelak tawa mereka bergema di segenap kawasan sungai. Ada yang bermain air di bahagian cetek manakala sebahagian lagi berani cuba mandi di kawasan lebih dalam berhampiran air terjun.
Ibu bapa pula kelihatan santai sambil memerhati anak-anak, ada yang duduk di tepi sungai menikmati bekalan makanan, dan ada juga yang mengambil kesempatan bergambar berlatarbelakangkan air terjun yang indah.
Kemeriahan semakin terasa apabila beberapa keluarga memasang khemah kecil untuk berehat menjadikan suasana seperti sebuah perkampungan riadah sementara.
Seorang pengunjung, Nuraqalili Abd. Wahab berkata, dengan suasana mesra keluarga, kawasan tersebut terus menjadi pilihan utama keluarga terutama ketika musim cuti sekolah, malah ada yang menyifatkan lokasi itu sebagai ‘syurga riadah’ masyarakat setempat.
Beliau yang datang bersama suami dan dua anak berkata, Taman Eko-Rimba Sungai Pandan bukan sahaja menawarkan keindahan semula jadi malah menjadi tempat terbaik untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.
“Suasana damai dan bunyi deruan air yang menenangkan menjadikan pengalaman berkelah di sini cukup istimewa. Yang penting, anak-anak bebas bermain walaupun tiada pengawasan.
“Selain itu, kemudahan asas disediakan seperti kawasan parkir, laluan masuk yang jelas dan pondok rehat turut memudahkan pengunjung. Dengan adanya kemudahan ini, orang ramai lebih selesa untuk datang beriadah tanpa perlu risau tentang kesulitan,” katanya.
Beliau berharap agar pihak berwajib terus menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan itu supaya taman eko-rimba tersebut kekal sebagai destinasi riadah utama masyarakat.
“Saya percaya, jika kawasan ini dipelihara dengan baik, ia akan terus menjadi tarikan pelancong dan ikon rekreasi semula jadi di Kuantan,” katanya.-UTUSAN.











