PETALING JAYA: XPENG Malaysia memperkenalkan program pemilikan MEGA X9 REWARDS, satu inisiatif terhad yang bertujuan meningkatkan nilai pemilikan keseluruhan bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) elektrik pintar premium, XPENG X9.
XPENG Malaysia berkata, program yang berlangsung sepanjang Jun 2026 itu menawarkan manfaat pemilikan bernilai sehingga RM45,000 kepada pelanggan yang layak membeli XPENG X9 Tahun Model 2025, sekali gus mengukuhkan lagi penawaran kenderaan elektrik (EV) premium syarikat di pasaran tempatan.
“Melalui program MEGA X9 REWARDS, pelanggan yang layak berpeluang menikmati manfaat pemilikan bernilai sehingga RM45,000.
“Ia merangkumi rebat tunai RM20,000, sokongan perlindungan insurans sehingga RM10,000, wallbox pengecas rumah percuma bernilai RM5,000 serta keistimewaan armada korporat bernilai RM10,000 bagi syarikat yang layak dan profesional terpilih, tertakluk kepada proses pengesahan.
“Program ini ditawarkan sehingga 30 Jun 2026, tertakluk kepada ketersediaan dan terma serta syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut syarikat itu, sebagai model perdana dalam rangkaian produknya di Malaysia, XPENG X9 mencerminkan visi jenama tersebut terhadap mobiliti masa depan yang menggabungkan teknologi pintar, keselesaan premium dan kepraktisan harian.
Katanya, program MEGA X9 REWARDS memberi peluang kepada bakal pemilik menikmati pengalaman memiliki XPENG X9 dengan manfaat tambahan sepanjang tempoh promosi.
“XPENG X9 diposisikan sebagai MPV perdana syarikat yang dibangunkan bagi menggabungkan teknologi mobiliti pintar, prestasi elektrik jarak jauh dan ruang dalaman fleksibel untuk kegunaan keluarga serta korporat.
“Model itu mengintegrasikan seni bina EV termaju dengan penekanan terhadap kebolehgunaan, keselesaan dan pengalaman digital, sekali gus menyasarkan pelanggan yang mencari alternatif premium dalam segmen MPV elektrik.
“Dari segi reka bentuk, XPENG X9 menampilkan lampu nyalaan siang (DRL) Galaxy Light Wing yang merentasi keseluruhan bahagian hadapan serta struktur badan yang dioptimumkan bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik,” ujarnya.
XPENG Malaysia berkata, antara ciri utama reka bentuk model itu termasuk sudut tiang A sebanyak 21 darjah dan kecondongan cermin belakang 23 darjah yang menyumbang kepada pekali seretan rendah 0.236 Cd.
“Ia sekali gus membantu meningkatkan kecekapan tenaga serta kestabilan ketika pemanduan berkelajuan tinggi.
“XPENG X9 juga dilengkapi sistem stereng roda belakang sebagai ciri standard yang membolehkan jejari pusingan minimum hanya 5.4 meter serta dapat meningkatkan kebolehgerakan kenderaan di kawasan bandar terutama di jalan sempit dan ruang parkir yang terhad,” katanya. – UTUSAN










