PETALING JAYA: Kedudukan fiskal Malaysia berdepan risiko yang semakin besar sekiranya harga minyak mentah dunia kekal tinggi untuk tempoh berpanjangan, meskipun harga komoditi itu telah susut semula ke bawah paras AS$100 (RM396) setong, susulan kemajuan rundingan di Asia Barat.
Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, ketidaktentuan pasaran tenaga global masih tinggi dan sebarang kegagalan mencapai persetujuan berhubung konflik yang menjejaskan aliran minyak melalui Selat Hormuz boleh menyebabkan harga minyak melonjak semula.
Katanya, risiko utama kepada Malaysia ketika ini adalah peningkatan beban subsidi yang berpotensi menjejaskan sasaran konsolidasi fiskal kerajaan sebanyak 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK)
“Harga minyak yang tinggi akan memberi kesan langsung kepada kedudukan fiskal negara kerana kerajaan perlu menanggung kos subsidi yang lebih besar jika harga bahan api domestik terus dikekalkan.
“Semakin lama harga minyak berada pada paras tinggi, semakin besar tekanan terhadap kewangan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, harga minyak mentah Brent kembali menyusut 1.14 peratus kepada AS93.90 (RM375) setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) turun 1.14 peratus kepada AS$91.11 (RM361) sehingga lewat petang semalam.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini menyasarkan defisit fiskal sekitar 3.5 peratus daripada KDNK, namun sasaran tersebut boleh terjejas sekiranya konflik geopolitik berlarutan dan menyebabkan harga minyak kekal tinggi.
Menurutnya, kos subsidi untuk minyak semakin bertambah jika harga terus kekal tinggi akibat penutupan Selat Hormuz yang merupakan 20 peratus laluan minyak global.
“Jika keadaan ini berterusan selepas Julai, terdapat risiko defisit fiskal akan melebar melebihi sasaran kerajaan. Ini bermakna usaha mengurangkan defisit mungkin menjadi lebih sukar untuk dicapai.
“Kerajaan mungkin perlu menambah pinjaman bagi menampung kos subsidi yang meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada paras hutang negara,” ujarnya.
Kim Leng berkata, kerajaan mungkin terpaksa mengurangkan kuota subsidi minyak BUDI95 atau menaikkan sedikit harga minyak tersebut bagi mengurangkan bebanan perbenlanjaan yang semakin meningkat.
Tambahnya, risiko fiskal akan menjadi lebih terkawal sekiranya rundingan semasa berjaya memastikan laluan perkapalan di Selat Hormuz kekal terbuka dan bekalan minyak global kembali stabil.
“Hampir 20 peratus perdagangan minyak dunia melalui Selat Hormuz. Jika laluan itu beroperasi seperti biasa dan risiko geopolitik berkurangan, premium risiko perang dalam harga minyak juga akan menurun.
“Dalam keadaan itu, harga minyak boleh kembali stabil pada sekitar AS$80 (RM317) hingga AS$90 (RM356) setong bagi baki tahun ini, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap fiskal kerajaan,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika rundingan gagal dan konflik semakin meruncing, harga minyak berpotensi meningkat melebihi AS$100 (RM396) hingga AS$120 (RM475) setong, yang bukan sahaja memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global tetapi turut meningkatkan risiko terhadap kedudukan fiskal Malaysia. – UTUSAN









