PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka bergerak dalam julat 1,670 hingga 1,700 mata dalam tempoh terdekat, dengan pasaran kekal dalam fasa penyatuan berikutan sentimen pelabur yang masih berhati-hati terhadap perkembangan ekonomi dan geopolitik global.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pergerakan FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) kekal mendatar dengan volum dagangan rendah hingga sederhana, mencerminkan pendekatan tunggu dan lihat dalam kalangan pelabur.
“Bagi minggu ini, pasaran dijangka mengalami tempoh dagangan yang lebih berhati-hati susulan ketidaktentuan harga komoditi serta tekanan daripada faktor luaran.
“Walau bagaimanapun, aktiviti pembelian terpilih dijangka membantu mengehadkan penurunan indeks,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pada minggu hadapan, sentimen pasaran dijangka bertukar kepada sedikit menaik dengan potensi pemulihan secara berperingkat.
“Antara faktor utama yang menyokong unjuran tersebut ialah asas ekonomi domestik yang masih kukuh. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dianggarkan sekitar 4.0 hingga 4.5 peratus, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang stabil dan aktiviti ekonomi yang berterusan.
“Selain itu, penilaian pasaran tempatan yang masih dianggap murah berbanding beberapa pasaran serantau turut menyediakan ruang untuk kenaikan lanjut. Bursa Malaysia dilihat sebagai pasaran yang masih tidak membebankan, sekali gus berpotensi menarik minat pelabur institusi,” katanya.
Barjoyai turut melihat peluang kemasukan dana asing yang lebih besar memandangkan pegangan pelabur asing dalam pasaran tempatan masih berada pada tahap yang relatif rendah.
“Keadaan ini memberi ruang kepada aliran masuk modal baharu sekiranya sentimen global bertambah baik.
“Momentum pertumbuhan pendapatan korporat bagi tahun 2026 juga dijangka menjadi pemangkin tambahan, dengan keuntungan syarikat tersenarai diunjurkan berkembang sekitar lima hingga tujuh peratus,” katanya.
Namun begitu, beliau berkata, beberapa risiko utama masih perlu diberi perhatian oleh pelabur.
“Antaranya ialah perkembangan data ekonomi utama dari Amerika Syarikat (AS) dan China yang boleh mempengaruhi sentimen pasaran global.
“Dalam pada itu, ketegangan geopolitik di Asia Barat, khususnya melibatkan rundingan antara AS dan Iran serta turun naik harga minyak mentah dunia terus menjadi faktor yang berpotensi meningkatkan ketidaktentuan pasaran,” katanya.
Sekiranya sentimen pasaran bertambah baik, FBM KLCI berpotensi meningkat ke paras 1,700 hingga 1,720 mata dalam tempoh terdekat.
Malah, jika berlaku penembusan teknikal yang lebih kukuh disertai peningkatan volum dagangan, indeks berkemungkinan menguji paras 1,730 mata dan ke atas.
“Untuk pelabur jangka sederhana antara tiga hingga enam bulan, prospek keseluruhan pasaran masih cenderung positif dengan sasaran indeks FBM KLCI bagi tahun 2026 dianggarkan berada dalam lingkungan 1,700 hingga 1,770 mata,” katanya.
Sementara itu, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, pasaran saham tempatan dijangka bergerak dalam julat 1,710 hingga 1,725 mata dalam tempoh terdekat, disokong oleh prestasi kukuh syarikat-syarikat tersenarai yang terus mencatat pertumbuhan pendapatan.
“FBM KLCI berpotensi menghampiri paras 1,725 mata sekiranya keputusan kewangan korporat melebihi jangkaan pasaran dan aktiviti pelaburan asing kembali meningkat.
“Bagaimanapun, momentum kenaikan dijangka kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin perlahan akibat konflik geopolitik serta ketegangan perdagangan antarabangsa.
“Faktor-faktor tersebut boleh memberi tekanan kepada sentimen pelabur dan mengehadkan kenaikan pasaran dalam jangka pendek,” katanya. – UTUSAN










