Taiwan pamer anjing robot peronda pantau Laut China Selatan

Taiwan pamer anjing robot peronda pantau Laut China Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Institut pembangunan senjata utama tentera Taiwan hari ini mempamerkan tiga anjing robot peronda yang berpotensi digunakan di pulau-pulau milik Taiwan di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.

Taiwan, yang ditadbir secara demokrasi namun dituntut oleh Beijing sebagai sebahagian daripada wilayahnya, sedang giat memodenkan angkatan tenteranya bagi memperkukuh keupayaan mengekang ancaman China, dengan teknologi dron menjadi antara fokus utama Kementerian Pertahanan.

Dalam satu acara media di kementerian tersebut, Institut Sains dan Teknologi Nasional Chung-Shan (NCSIST) milik tentera memperkenalkan tiga model anjing robot yang dibangunkan oleh Ghost Robotics, sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) yang terkenal sebagai pembekal sistem robot berkaki empat untuk kegunaan ketenteraan.

Demonstrasi itu menunjukkan usaha Taiwan untuk mengintegrasikan teknologi robotik dalam operasi pertahanan dan pemantauan kawasan strategik.

Institut tersebut memasang teknologi buatan sendiri pada bahagian belakang robot berkenaan bagi versi peninjauan, pengawasan dan juga versi berkeupayaan tempur, dengan model terakhir dilengkapi senjata api di bahagian belakangnya.

Timbalan ketua bahagian penyelidikan sistem peluru berpandu dan roket institut itu, Jen Kuo-kuang berkata, pihak tentera menyatakan keperluan terhadap peralatan tersebut, namun belum membuat sebarang tempahan rasmi setakat ini.

“Pada hakikatnya, pihak marin berpendapat bahawa di kawasan pantai dan pesisir, termasuk untuk pengawal pantai di Nansha dan Dongsha bagi tujuan rondaan dan pemeriksaan, terdapat keperluan yang mendesak,” katanya, merujuk kepada Kepulauan Spratly dan Pratas di Laut China Selatan.

Taiwan mempunyai satu pulau utama di Kepulauan Spratly yang dikenali sebagai Itu Aba, manakala ia mengawal sepenuhnya Kepulauan Pratas yang terletak secara strategik di bahagian utara Laut China Selatan dan pertahanannya ketika waktu aman menjadi tanggungjawab pengawal pantai.

Tiada penduduk tempatan di pulau-pulau berkenaan selain kehadiran anggota pengawal pantai.

China dan Taiwan kedua-duanya menuntut sebahagian besar kawasan Laut China Selatan, namun pasukan China lazimnya tidak mengganggu Itu Aba.

Bagaimanapun, Taiwan mengadu mengenai peningkatan jumlah rondaan pengawal pantai China serta kehadiran dron berhampiran kawasan Pratas dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×