PETALING JAYA: Pemberhentian tayangan filem Konspirasi di pawagam tempatan dibuat atas kehendak penerbitnya, Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, perkara itu dimaklumkan persatuan pempamer filem Malaysia (MAFE) dan Media Prima Berhad menerusi e-mel.
“Pemberhentian penayangan Konspirasi dibuat selepas mendapat arahan penerbit berkuatkuasa 28 Mei 2026.
“Mereka (penerbit) telah mengemukakan surat pemberhentian menerusi email kepada pihak Finas.Jadi hal ini tidak ada kena mengena dengan Finas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, pelakon Sarimah Ibrahim menerusi platform Threads mendakwa filem itu telah ditarik balik selepas tujuh hari ditayangkan di pawagam Malaysia.
Sarimah dalam masa yang sama mendakwa poster filem tersebut turut diturunkan sejak hari kedua penayangannya.
Azmir juga mengesahkan filem Konspirasi telah memperoleh kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei 2026.
Filem tersebut mula ditayangkan pada 21 Mei 2026 di 120 skrin pawagam seluruh negara.
Justeru pihaknya akan mendapatkan penjelasan penerbit mengenai tersebut.
“Ini tak ada kena mengena dengan skim wajib tayang kerana filem berkenaan telah mencatatkan jumlah kutipan yang baik, iaitu sekitar lebih RM500,000 di pawagam sejak hari pertama ditayangkan.
“Finas akan mendapatkan penjelasan penerbit mengenai hal ini,” kongsinya.
Sementara itu, pengarah filem Konspirasi, Ghaz Abu Bakar, berkata, pemberhentian tayangan filem tersebut tidak mempunyai kaitan dengan campur tangan mana-mana pihak.
“Filem Konspirasi ini berkisarkan negara kita yang diserang secara siber yang menjejaskan ekonomi, sistem perbankan, pengangkutan dan hospital negara.
“Dalam masa sama, filem ini turut membongkar rahsia politik melibatkan ahli politik yang cuba bekerjasama dengan pihak luar untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
“Setakat apa yang saya tahu sekarang, memang tiada campur tangan daripada mana-mana pihak termasuk pihak kerajaan sekalipun. Kami juga sudah melepasi Skim Wajib Tayang selama maksimum dua minggu,” jelasnya.
Ghaz berkata, dia bersama barisan pelakon lain hanya dimaklumkan mengenai keputusan pemberhentian tayangan filem itu di Malaysia, kelmarin.
“Saya menerima mesej daripada pihak penerbit yang memaklumkan tayangan filem ini akan dihentikan dan dikeluarkan daripada pawagam tempatan. Barisan pelakon juga tidak mengetahui mengenai perkara ini dan kami semua agak terkejut dengan keputusan tersebut,” katanya. – UTUSAN









