KUALA TERENGGANU: Seorang kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai juara dunia Excellent Gold dalam kategori Nasi Lemak Moden dalam Kejohanan Cef Dunia Malaysia (WCCM) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, baru-baru ini.
Dalam kejohanan yang berlangsung tiga hari itu, Nazrul Hazel Mohd. Nor, 45, turut membawa pulang anugerah perak bagi kategori Salmon Kreatif.
WCCM 2026 menghimpunkan kira-kira 2,300 cef profesional dari 10 negara sekali gus menjadikan pertandingan itu antara platform kulinari antarabangsa paling berprestij di rantau ini.
Bagi kategori Salmon Kreatif, seramai 40 peserta bertanding manakala kategori Nasi Lemak Moden disertai 35 peserta.
Kejayaan tersebut membuktikan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kulinari menjadi kelebihan buat Nazrul Hazel untuk terus bersaing di pentas antarabangsa.
Nazrul Hazel berkata, pencapaian itu sangat bermakna buat dirinya lebih-lebih lagi selepas pernah meraih anugerah emas dalam kategori Cabaran Pasta pada Kejohanan Cef Dunia 2023.
Menurutnya, hidangan ‘Elevated Nasi Lemak’ yang dipertanding mengetengahkan konsep nasi lemak moden dengan sentuhan premium tanpa menghilangkan identiti tradisional makanan popular rakyat Malaysia itu.
“Nasi lemak ini dimasak bersama bunga telang bagi menghasilkan warna dan aroma yang lebih unik. Sambalnya pula menggunakan resipi sendiri manakala salmon diperap menggunakan pes serai dan halia untuk memberikan rasa lebih segar dan seimbang.
“Ikan bilis yang digunakan ialah ikan mata biru selain turut dihidangkan bersama telur puyuh serta hiasan yang boleh dimakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Nazrul Hazel berkata, konsep ‘elevated’ dalam penyediaan hidangan itu membawa maksud sesuatu yang ditingkatkan ke tahap lebih eksklusif, premium dan berkualiti berbanding versi biasa.
Katanya, sokongan keluarga terutama isterinya menjadi kekuatan utama untuk terus melakar kejayaan dalam bidang kulinari.
“Sokongan daripada keluarga, sahabat handai dan paling utama isteri yang sentiasa memahami serta menyokong kerjaya dan jiwa memasak saya amat bermakna dalam pertandingan ini.
“Harapan saya agar dapat mencipta lebih banyak sejarah baharu dan membawa diri ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN











