WASHINGTON: Satu perjanjian sementara dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, walaupun Presiden Donald Trump masih belum memberikan kelulusan rasmi ketika ketegangan di rantau itu terus memuncak.
Pegawai AS berkata, persetujuan Trump akan menjadi penentu utama bagi sebarang perjanjian dimeterai, selepas beliau pada Rabu menyatakan tidak berpuas hati dengan perkembangan rundingan semasa.
Trump berulang kali mengugut untuk menyambung semula kempen pengeboman berskala besar jika Iran tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan.
Masih belum jelas sama ada pemimpin tertinggi Iran turut memberikan persetujuan, yang dipercayai menjadi satu lagi syarat penting untuk menamatkan konflik.
KONGSI DRAF PERJANJIAN
Walaupun berlaku ketegangan ketenteraan antara AS dan Iran minggu ini, rangka akhir teks perjanjian antara kedua-dua negara dilihat sebagai petanda usaha diplomasi masih diteruskan.
Trump dilaporkan mengedar draf perjanjian damai perang Iran kepada sekutu termasuk Israel, ketika kedua-dua pihak cuba mengelakkan pelanggaran gencatan senjata daripada terus memburukkan keadaan.
Dalam usaha mempercepatkan rundingan, Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar, akan terbang ke Washington pada Jumaat untuk bertemu rakan sejawatannya dari AS, Marco Rubio.
Mesyuarat Kabinet Trump pada Rabu membincangkan perjanjian tersebut, namun Axios melaporkan Presiden AS itu memerlukan beberapa hari lagi untuk mempertimbangkannya.
Draf yang dikongsi oleh Trump tidak jauh beza daripada versi yang beredar di seluruh Asia Barat sejak beberapa hari lalu, merangkumi pembukaan semula Selat Hormuz untuk kapal komersial, sekatan AS ke atas pelabuhan Iran ditarik balik dan Teheran diberikan akses sehingga AS$12 bilion (RM47 bilion) dalam aset yang dibekukan.
Matlamat perjanjian itu adalah untuk mengembalikan trafik perkapalan di Selat Hormuz ke tahap sebelum perang dalam tempoh 30 hari, manakala rundingan yang dijangka berlangsung sehingga 60 hari akan dimulakan bagi membincangkan masa depan program nuklear Iran.
Ini termasuk perbincangan mengenai stok uranium diperkaya, penggantungan sementara aktiviti pengayaan serta pemantauan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Iran juga dijangka berjanji untuk tidak membangunkan senjata nuklear.
Naib Presiden AS, JD Vance, pada Khamis berkata, kedua-dua pihak hampir mencapai perjanjian, namun masih terdapat beberapa isu tertangguh berkaitan simpanan uranium diperkaya Iran dan persoalan pengayaan.
“Sukar untuk menentukan bila atau sama ada presiden akan menandatangani (memorandum persefahaman) itu. Kami masih berunding mengenai beberapa perkara berkaitan perjanjian,” katanya.
China pula dilaporkan mendesak supaya Majlis Keselamatan PBB mengesahkan sebarang perjanjian yang dicapai.
ANCAM OMAN
Skop perjanjian semasa itu dijangka tidak disenangi Israel kerana ia menangguhkan komitmen nuklear daripada Iran serta mensyaratkan gencatan senjata kekal yang melibatkan Lubnan.
Draf tersebut kurang terperinci berbanding versi Iran mengenai pengurangan sekatan ke atas eksport minyak dan petrokimia Teheran. Ia juga menegaskan kebebasan pelayaran tanpa tol di Selat Hormuz.
Iran pada masa sama sedang berunding dengan Oman untuk mencapai perjanjian berasingan daripada memorandum persefahaman itu, yang akan membolehkan bayaran dikenakan bagi ‘perkhidmatan navigasi’.
Dalam kenyataan yang tidak mendapat reaksi rasmi daripada Muscat, Trump pada Rabu mengancam untuk ‘memusnahkan Oman’ jika negara itu cuba mencapai perjanjian dengan Teheran melibatkan pelaksanaan bayaran di selat tersebut.
Tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengeluarkan kenyataan yang menegaskan semula kawalan mereka terhadap Selat Hormuz, dengan menyatakan 26 kapal dagang dan kapal tangki minyak dibenarkan melalui selat itu dalam tempoh 24 jam.
IRGC berkata, permohonan kebenaran adalah wajib dan sebarang laluan tanpa kebenaran akan dianggap sebagai gangguan.
Ia turut campur tangan bagi menghalang empat kapal yang cuba melalui selat tersebut dengan transponder dimatikan. Menurutnya, dua kapal dihentikan dan dua lagi dipaksa berpatah balik.
Walaupun berlaku beberapa pertempuran kecil antara AS dan Iran, kedua-dua pihak masih mengekalkan hubungan tidak langsung yang dimediasi oleh Pakistan dan Qatar.
Namun, jika pengendali kapal minyak meningkatkan usaha untuk melalui Selat Hormuz tanpa kebenaran Iran, gencatan senjata rapuh yang dipersetujui pada 8 April boleh runtuh.
Washington dan Teheran sebelum ini saling menuduh melanggar gencatan senjata pada Khamis susulan insiden berbalas tembakan.
Bagaimanapun, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, menegaskan gencatan senjata itu masih berkuat kuasa.- AGENSI










