Perang Iran paksa 27 negara mohon dana kecemasan Bank Dunia

Perang Iran paksa 27 negara mohon dana kecemasan Bank Dunia

PENUNJUK perasaan di Pakistan melaungkan slogan semasa protes menentang kenaikan harga bahan api yang dicetuskan oleh perang Asia Barat di Karachi minggu lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sebanyak 27 negara dilaporkan mengambil langkah untuk mengakses dana kecemasan melalui program Bank Dunia susulan tercetusnya perang Iran, menurut dokumen dalaman yang dilihat Reuters.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dokumen itu menyatakan negara terbabit sedang membangunkan mekanisme krisis bagi membolehkan akses pantas kepada pembiayaan sedia ada, namun tidak menyenaraikan negara terlibat atau jumlah dana yang dimohon.

Bank Dunia bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.

Menurut dokumen sama, tiga negara meluluskan instrumen baharu sejak konflik di Asia Barat bermula pada 28 Februari, manakala selebihnya masih dalam proses pelaksanaan.

Perang tersebut turut memberi kesan kepada pasaran tenaga global, sekali gus mengganggu rantaian bekalan dan menjejaskan penghantaran baja penting ke negara membangun.

Kenya dan Iraq mengesahkan mereka sedang mendapatkan sokongan kewangan pantas daripada Bank Dunia bagi menangani kesan perang Iran, termasuk lonjakan harga bahan api di Kenya serta kejatuhan mendadak hasil minyak di Iraq.

Kesemua 27 negara itu merupakan sebahagian daripada 101 negara yang mempunyai akses kepada beberapa bentuk instrumen pembiayaan yang diatur terlebih dahulu dan boleh dimanfaatkan ketika krisis, termasuk 54 negara yang menyertai Pilihan Tindak Balas Pantas.

Mekanisme itu membolehkan negara berkenaan menggunakan sehingga 10 peratus daripada dana pinjaman yang belum disalurkan.

Presiden Bank Dunia, Ajay Banga, bulan lalu berkata, kit alat krisis bank itu membolehkan negara menggunakan pembiayaan luar jangka yang dipersetujui lebih awal, baki projek sedia ada serta instrumen pengeluaran pantas untuk mengakses anggaran AS$20 bilion (RM79 bilion) hingga AS$25 bilion (RM99 bilion).

Beliau berkata, bank itu juga boleh menyusun semula sebahagian portfolio untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada AS$60 bilion (RM238 bilion) dalam tempoh enam bulan, dengan kemungkinan perubahan jangka panjang yang mungkin menaikkan jumlah keseluruhan kepada sekitar AS$100 bilion (RM396 bilion).- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN