PETALING JAYA: UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) telah melantik Datin Sri Badrunnisa Mohd. Yasin Khan dan Alex Yeow Wai Siaw sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu ke dalam lembaga pengarah syarikat itu berkuat kuasa hari ini.
Syarikat itu turut melantik semula Christina Foo sebagai Pengarah Bebas.

Pelantikan itu berikutan peletakan jawatan Tan Sri Dr. Azmi Khalili Khalid, Ungku Suseelawati Ungku Omar dan Datin Teh Ija Mohd. Jalil pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-13 yang diadakan hari ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah UEM Sunrise, Datuk Noorazman Abd. Aziz berkata, pihaknya berterima kasih kepada Azmil, Ungku Suseelawati dan Teh Ija kerana kepimpinan dan sumbangan mereka kepada lembaga itu.
“Pada masa yang sama, kami mengalu-alukan Badrunnisa dan Alex kepada Lembaga Pengarah kerana kami yakin mereka akan memberikan banyak nilai dan input strategik berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Badrunnisa, 61, mempunyai pengalaman bekerja lebih 30 tahun yang fokus kepada teknologi maklumat dan sumber manusia dalam industri minyak dan gas serta telekomunikasi.
Beliau memulakan kariernya bersama Shell di Malaysia dan berkhidmat selama 25 tahun dan kemudian menyertai Telekom Malaysia Berhad sebagai Pengurus Besar, Pembangunan Kepimpinan dan Pengurusan Bakat.
Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Bakat dan Ketua Kumpulan Axiata Learning sehingga bersara pada Mac 2020.

Sementara itu, Alex, 56 merupakan seorang perunding di syarikat McKinsey & Company di mana beliau telah berkhidmat kepada pelbagai pelanggan korporat dan syarikat milik kerajaan (GLC) di Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Seterusnya, beliau memegang pelbagai jawatan pengurusan atasan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Tropicana Corporation Berhad, Pengarah Bukan Eksekutif Hafary Holdings Limited, Pengarah Urusan dan Pengarah Eksekutif Guocoland (Malaysia) Berhad dan Pengarah Eksekutif Tower Real Estate Investment Trust.
Kini, Alex adalah Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Berhad sejak Mac lalu. – UTUSAN










