TEHERAN: Iran menghukum gantung seorang lelaki yang didapati bersalah menjual maklumat kepada perisikan Israel, menurut badan kehakiman negara itu, ketika gelombang hukuman mati meningkat susulan konflik dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan Mizan Online, Ehsan Afreshteh disabitkan bersalah mengintip untuk agensi perisikan Mossad selepas dilatih di Nepal dan menjual maklumat sensitif kepada Israel.
“Beliau ditahan dan dibicarakan atas tuduhan pengintipan serta kerjasama dengan rejim Zionis, dan dihukum gantung pagi ini (Rabu) selepas keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Agung,” menurut laporan itu.
Sejak tercetusnya konflik dengan Israel dan AS pada Februari, Iran meningkatkan pelaksanaan hukuman mati khususnya bagi kes-kes berkaitan keselamatan dan pengintipan.
Iran juga kini berada antara negara yang paling banyak melaksanakan hukuman mati di dunia, kedua selepas China menurut kumpulan hak asasi manusia.
Pada Isnin lalu, seorang pelajar kejuruteraan aeroangkasa turut dihukum mati atas tuduhan mengintip untuk Israel dan AS.- AFP










