KUALA LUMPUR: Pengendali baharu perseorangan remaja wanita negara, Salim Samion menyasarkan pendekatan lebih menyeluruh dalam membangunkan pemain muda dengan menggabungkan pengalaman latihan di Thailand serta ilmu daripada legenda kejurulatihan negara, Datuk Misbun Sidek.
Beliau berkata, gabungan dua falsafah latihan itu diyakini mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan skuad remaja wanita negara yang ketika ini sedang melalui fasa pemerkasaan semula.
Salim menjelaskan pengalaman melatih di luar negara memberinya perspektif lebih luas dalam memahami keperluan pemain dari segi teknikal dan mental.
Menurutnya, setiap pemain mempunyai keperluan berbeza dan pendekatan latihan tidak boleh disamaratakan kerana ia boleh menjejaskan perkembangan individu.
“Saya fikir itu adalah antara kekuatan terbesar yang saya ada ketika ini. Maksudnya pengalaman daripada budaya berbeza ditambah dengan sistem kejurulatihan yang saya pelajari daripada jurulatih Misbun.
“Penting untuk kami bukan hanya menggunakan satu pendekatan sahaja, tetapi kami akan menilai pemain, siapa yang memerlukan sokongan dan jenis sokongan yang mereka perlukan,” kata Salim kepada pemberita selepas sesi Latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Selain itu, Salim menjelaskan ada pemain yang lebih sesuai dengan pendekatan latihan ala Thailand, manakala ada juga yang memerlukan sentuhan berbeza bergantung kepada karakter serta tahap perkembangan masing-masing.
“Ada pemain yang memerlukan pengalaman daripada pendekatan Thailand dan ada juga yang memerlukan pendekatan yang saya berbeza. Jadi kami perlu gabungkan kedua-duanya mengikut kesesuaian pemain,” katanya.
Dalam pada itu, Salim mengakui Thailand masih berada di hadapan Malaysia khususnya dalam pembangunan perseorangan wanita di peringkat remaja.
Beliau berkata kekuatan negara jiran itu berpunca daripada jumlah pemain yang lebih besar serta sistem kelab yang lebih tersusun dan konsisten.
“Saya fikir kita perlu menerima hakikat bahawa Thailand sedikit lebih kuat dalam bahagian perseorangan wanita terutama pemain muda kerana mereka mempunyai kelompok pemain yang besar serta banyak kelab. Jadi mereka sedikit selangkah di hadapan kami,” katanya. – UTUSAN










