UAE serang Iran pada April

UAE serang Iran pada April

KEBAKARAN berlaku didakwa akibat serangan Iran di loji minyak Fujairah awal Mac lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan melancarkan serangan ke atas Iran pada awal April, menurut sumber kepada Wall Street Journal, sekali gus mendedahkan penglibatan negara Teluk itu dalam konflik berkenaan yang sebelum ini tidak diketahui umum.

Dalam laporan bertarikh 11 Mei, akhbar tersebut menyatakan serangan UAE menyasarkan sebuah kilang penapisan minyak di Pulau Lavan, Iran, yang berlaku sekitar waktu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan gencatan senjata selepas kempen pencerobohan selama lima minggu.

Laporan itu turut menyebut AS secara senyap menyambut baik tindakan UAE serta kemungkinan penyertaan negara Teluk lain dalam konflik tersebut, menurut sumber yang tidak dinamakan.

Menurut AFP, ia tidak dapat mengesahkan secara bebas laporan mengenai serangan UAE tersebut. Wall Street Journal juga tidak menyatakan tarikh atau masa yang tepat.

Namun, pada 8 April, penyiar rasmi Iran, IRIB, melaporkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas UAE dan Kuwait berlaku beberapa jam selepas sasaran kemudahan minyak di Pulau Lavan.

Penyiar negara itu turut menyatakan fasiliti di Lavan menjadi sasaran ‘serangan pengecut’ pada pukul 10 pagi.

Pada hari sama, hanya beberapa jam selepas gencatan senjata berkuat kuasa, UAE berkata, ia menjadi sasaran 17 peluru berpandu Iran dan 35 dron.

Pada pagi yang sama juga, tentera Kuwait memaklumkan negara itu berdepan siri serangan ke atas loji janakuasa dan penyahgaraman air, serta kemudahan minyak, sekali gus menjadi ujian awal kepada gencatan senjata yang rapuh itu.

Kilang penapisan tersebut merupakan kilang penapisan ke-10 terbesar Iran setakat 2020, dengan keupayaan memproses 60,000 tong minyak mentah sehari, menurut data daripada EIA.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×