67 pakar jaga 4.1 juta warga emas

67 pakar jaga 4.1 juta warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia kini berdepan cabaran besar dalam menyediakan penjagaan kesihatan kepada golongan warga emas apabila hanya mempu­nyai 67 pakar geriatrik bagi me­nampung keperluan kira-kira 4.1 juta penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.

Situasi itu menyaksikan nis­bah seorang pakar perlu me­nampung sekitar 60,000 warga emas sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap ke­­mampuan sistem kesihatan negara dalam menghadapi pe­ningkatan populasi menua.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 turut mendedahkan ha­nya 14.7 peratus warga emas di Malaysia menua secara sihat manakala 18.8 peratus lagi dilaporkan tinggal bersendirian menjadikan kumpulan ini le­bih terdedah kepada risiko ke­sihatan dan sosial.

Pengerusi Malaysian Coalition on Ageing (MCOA), Cheah Tuck Wing berkata, kekurangan pakar dalam bidang geriatrik menunjukkan Malaysia masih belum benar-benar bersedia untuk berdepan status negara menua yang dijangka berlaku menjelang tahun 2030.

“Jumlah ini masih terlalu kecil untuk menampung ke­perluan kesihatan warga emas yang semakin meningkat. Jika dibandingkan dengan Singapura mereka jauh lebih bersedia walaupun populasinya lebih kecil.

“Jadi, apabila ditanya sama ada Malaysia sudah bersedia daripada sudut geriatrik, jawapannya belum. Kita perlu me­latih dan melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Geriatrik merujuk kepada bidang perubatan yang memberi tumpuan kepada penja­gaan kesihatan warga emas, termasuk rawatan penyakit berkaitan penuaan serta ke­perluan penjagaan jangka panjang.

Tuck Wing berkata, cabaran itu turut diburukkan dengan kekurangan penjaga atau ca­regiver terlatih yang mampu memberikan penjagaan khusus kepada warga emas terutama mereka yang terlantar atau menghidap penyakit seperti demensia dan Alzheimer.

Beliau berkata, penjaga sedia ada kebanyakannya tidak terlatih atau menerima latihan menggunakan modul yang tidak seragam di peringkat nasional.

“Penjagaan warga emas bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlantar atau menghidap penyakit se­perti demensia dan Alzheimer. Ia memerlukan latihan khusus serta kemahiran yang betul.

“Ini perlu diselesaikan se­gera kerana kekurangan penjaga terlatih akan memberi tekanan bukan sahaja kepada warga emas tetapi juga kepada keluarga dan sistem penjagaan negara,” katanya.

Berdasarkan data Jabatan Pe­rangkaan, rakyat Malaysia berusia 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 7.7 peratus pada 2024 berbanding 7.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Jabatan itu turut merekodkan nisbah tanggungan warga tua meningkat kepada 10.9 pada 2024 berbanding 10.6 pada 2023.

Malah turut direkodkan 12 negeri sudah mencapai status negeri menua setakat 2025 dengan Melaka, Pahang dan Kuala Lumpur menjadi tambahan terbaharu tahun ini.

Perak pula kekal mencatatkan peratusan tertinggi penduduk berusia 65 tahun dan ke atas iaitu 10.3 peratus.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Chai Sen Tyng berkata, Malaysia tidak boleh lagi menangguhkan perancangan bagi menghadapi status negara menua.

Beliau berkata, isu warga emas tidak boleh dilihat sebagai isu kebajikan dan kesihatan semata-mata sebaliknya perlu dirancang secara menyeluruh melibatkan perumahan, pe­ngangkutan, pekerjaan dan perlindungan sosial.

Katanya, walaupun Malaysia sudah mempunyai dasar berkaitan warga emas sejak 1995 menerusi Dasar Warga Tua Negara, cabaran sebenar kini terletak pada keberkesa­nan pelaksanaan dan penyela­rasan antara agensi.

“Bagaimanapun, semua usaha ini masih berterusan dan tidak dinafikan masih banyak perlu dilakukan terutama dalam memastikan setiap dasar dan pelan tindakan benar-benar diterjemahkan kepada perkhidmatan yang boleh dirasai warga emas.

“Perancangan yang baik perlu disusuli pelaksanaan, pemantauan dan penilaian berdasarkan bukti serta impak sebenar, bukan sekadar cada­ngan bersifat kosmetik yang melengah-lengahkan perubahan sistemik,” katanya.

Sen Tyng berkata, Malaysia juga menua pada kadar lebih pantas berbanding negara maju lain walaupun masih berada pada tahap pembangunan lebih rendah.

Katanya, beberapa negara seperti Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Sweden mengambil masa sehingga 60 hingga 80 tahun untuk menggandakan populasi berusia 65 tahun ke atas daripada tujuh peratus kepada 14 peratus.

Sebaliknya, Malaysia dianggarkan melalui peralihan sama dalam tempoh sekitar 26 hingga 27 tahun sahaja.

“Keadaan ini menuntut perubahan cara fikir dalam merancang dasar dan perkhidmatan kerana realiti sosioekonomi lama tidak lagi sesuai digunakan untuk menangani perubahan struktur umur penduduk.

“Pengalaman negara luar yang sudah berdepan krisis penuaan penduduk juga perlu diperhalusi supaya Malaysia tidak mengulangi kelemahan sama,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×